CIAPAN dimuat naik Teme Abdullah di akaun Twitter miliknya.
CIAPAN dimuat naik Teme Abdullah di akaun Twitter miliknya.
Redzuan Muharam


“GAMBAR itu adalah kiriman Tuanku kepada saya, cuma tidak perlulah saya dedahkan salurannya,” kata arkitek yang juga penulis, Teme Abdullah.

Teme memberi reaksi itu selepas ditanya bagaimana dia boleh menerima gambar Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah R’ayatudddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Gambar itu dimuat di Twitter miliknya tujuh jam lalu untuk mengubat kerinduan warganet terhadap Tunku Azizah .

Rata-rata pengikutnya gembira dengan perkongsian itu dan sehingga kini, ciapan gambar berkenaan mendapat 6,600 suka serta 2,300 ulang ciap.

Menerusi medium sama, Teme turut memuat naik ciapan ‘Akhir sekali...Our beloved Queen (Permasuri kami yang disayangi), DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ada kirimkan salam pada semua. Tidak kira friends or haters (kawan atau lawan)’.

Bercerita lanjut, Teme berkata, gambar itu dimuat naik di Twitter miliknya selepas mendapat perkenan Tunku Azizah.

“Sebelum memuat naiknya di Twitter, saya sudah meminta izin dan Baginda memperkenankan permintaan saya.

“Cuma, saya tidak boleh dedahkan butiran lanjut mengenai perbualan kami dan saluran gambar itu dikirimkan secara terperinci.

“Niat saya hanya untuk mengubat kerinduan warganet terhadap Baginda, itu saja,” katanya ketika dihubungi Harian Metro menerusi kiriman WhatsApp.

Dalam pada itu, Teme turut menzahirkan ucapan penghargaannya kepada Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah atas kesudian Baginda berdua menerima lukisan potret pemberiannya.

“Baginda Tuanku boleh saja mengupah pelukis ternama bertaraf dunia untuk melakar wajah Baginda menghiasi istana.

“Tetapi Baginda berdua merendah diri, mencemar duli turun ke bawah dan memilih lukisan seorang anak muda macam aku. Begitulah Tuanku dengan rakyat,” katanya.

Tunku Azizah mengejutkan warganet selepas menutup akaun Twitter sejak semalam.

Rata-rata pengguna Twitter kecewa kerana tidak dapat mengikuti perkembangan Tunku Azizah dan merayu supaya akaun itu diaktifkan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 12:34 AM