GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


WANITA kerugian RM25,000 apabila wang di dalam akaun bank miliknya dikeluarkan seorang individu selepas beg tangannya tertinggal di dalam kenderaan Grab milik rakannya, 27 Mei lalu.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Melaine, 27 berkata, dia mengenali lelaki itu melalui aplikasi Weechat yang memaklumkan membuat perkhidmatan e-hailing.

“Bermula dari situ saya sering menggunakan perkhidmatannya kerana sudah mengenali sejak tiga bulan lalu.

“Namun pada 27 Mei lalu, saya tertinggal beg tangan di dalam kereta terbabit dan cuba menghubungi lelaki berkenaan namun gagal.

“Saya kemudian dihubungi pihak bank memaklumkan saya mengeluarkan wang RM9,000 sedangkan kad bank berada di dalam beg tangan berkenaan,” katanya pada sidang media di Biro Pengaduan Awam MCA di Wisma MCA, Kuala Lumpur hari ini.

Melaine berkata, dia kehilangan telefon pintar, pasport, lesen memandu, kad kredit dan kad bank.

“Saya kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Sentul berhubung kehilangan barang milik saya.

“Saya juga menyeru pihak Grab mengambil tindakan terhadap pemandu yang tidak jujur itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong berkata, orang ramai terutama wanita perlu berhati-hati dengan individu yang baru dikenali.

“Kes ini berlaku kerana mangsa percaya dengan pemandu Grab berkenaan sehingga menyebabkan kerugian.

“Malah dia bernasib baik kerana hanya barangan yang hilang dan tidak diapa-apakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 3:59 PM