SITI Kharina
SITI Kharina
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) yakin polis melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan pembunuhan Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, orang ramai diminta untuk mengelak membuat spekulasi agar tidak mengganggu siasatan kes dan menghormati perasaan keluarga.

“KKM mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarhamah Puan Siti Kharina Mohd Kamarudin yang disahkan meninggal dunia.

“Beliau adalah Ketua Jururawat di Hospital Serdang. Allahyarhamah didapati hilang sejak 8 Mei dan mayat beliau kemudian ditemui pihak polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Hisham berkata, kes kematian ketua jururawat berkenaan adalah dalam siasatan polis dan bedah siasat sudah dilakukan.

“Semoga keluarga Allahyarhamah tabah dengan pemergian beliau,” katanya.

Terdahulu, polis mengesahkan mayat wanita yang ditemui di rumah sewa di Cyberjaya, petang semalam adalah Siti Kharina.

Mayat ditemui pemilik rumah berkenaan selepas dia datang ke kediaman terbabit untuk melakukan pemeriksaan apabila penyewanya gagal dihubungi sejak seminggu lalu.

Siti Kharina sudah lima tahun bertugas Hospital Serdang dan tinggal berjauhan dengan suami serta tiga anak perempuannya, masing-masing berusia antara 10 hingga 14 tahun.

Suami dan semua anaknya menetap di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Sebelum ini, pengurusan Hospital Serdang mengesahkan Siti Kharina yang dilaporkan hilang dilihat kali terakhir di kawasan tempat letak kenderaan hospital itu pada 8 Mei lalu.

Beliau dilihat memandu kereta Honda City berwarna putih.

Kehilangan Siti Kharina hanya disedari apabila rakan serumah jururawat itu menghubungi ahli keluarganya bertanya mengenai keadaannya apabila tidak pulang ke rumah dan melapor diri bertugas di tempat kerja.

Berita berkaitan

'Kami mahukan keadilan buat Siti Kharina'

Suspek kes bunuh jururawat ditahan

'Lelaki Nigeria diburu kes bunuh Siti Kharina [METROTV]'

'Siti Kharina dibunuh?'

'Henti sebar maklumat palsu kakak saya'

Masih tiada khabar dari Siti Kharina

'Bantu kami kesan kakak'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 9:32 PM