GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


LELAKI maut ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, dipercayai akibat dipukul tiga lelaki, hari ini.

Mangsa berusia 40-an itu dikatakan dipukul ketiga-tiga lelaki itu di sekitar Alor Setar sebelum dihantar suspek pulang ke kediamannya di Jalan Telok Wanjah, Market Koboi.

Difahamkan, selepas menghantar mangsa ke rumahnya, tangan dan kaki diikat pada satu kerusi di kediaman itu sebelum ditampar seorang daripada suspek di hadapan keluarganya.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, mangsa dihantar suspek pulang ke rumahnya dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Seorang daripada suspek mengikat tangan dan kaki mangsa di kerusi dan menamparnya di hadapan adik ipar mangsa bersama ibunya. Suspek turut mengugut mereka supaya tidak membuka ikatan itu.

“Bagaimanapun selepas suspek beredar, ahli keluarganya terus membuka ikatan itu sekitar 4 petang dan menghubungi ambulans.

“Mangsa dibawa ke HSB untuk menerima rawatan, namun dilaporkan meninggal dunia sekitar 6.45 petang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Rozi berkata, bedah siasat akan dijalankan untuk mengetahui punca kematian.

“Sebaik menerima laporan itu polis kemudian mengesan dan menahan seorang daripada suspek, sementara dua rakannya sedang diburu.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan motif mangsa diperlakukan sedemikian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 12:15 AM