Anggota polis mengangkat mayat Thomas Ooi Choon Chai yang ditemui mati akibat dipukul sekumpulan lelaki di sebuah rumah di Perumahan Awam Mergong, Alor Setar hari ini.
Anggota polis mengangkat mayat Thomas Ooi Choon Chai yang ditemui mati akibat dipukul sekumpulan lelaki di sebuah rumah di Perumahan Awam Mergong, Alor Setar hari ini.
Thomas Ooi Choon Chai ditemui mati akibat dipukul sekumpulan lelaki di sebuah rumah di Perumahan Awam Mergong, Alor Setar hari ini.
Thomas Ooi Choon Chai ditemui mati akibat dipukul sekumpulan lelaki di sebuah rumah di Perumahan Awam Mergong, Alor Setar hari ini.
Zuliaty Zulkiffli


AKIBAT hubungan cinta tidak direstui keluarga, seorang lelaki mati akibat dipukul sekumpulan lelaki di sebuah rumah di Perumahan Awam Mergong, Alor Setar hari ini.

Mangsa, Thomas Ooi Choon Chai, 34, ditemui mati selepas polis menerima maklumat sekitar jam 11.53 pagi daripada pembantu perubatan mengenai seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri di rumah tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, sebaik anggotanya sampai di tempat kejadian, mangsa berada dalam keadaan terlentang atas kerusi di rumah itu.

Beliau berkata, sepasukan anggota forensik turut membantu siasatan di tempat kejadian.

"Hasil siasatan mendapati si mati dipukul oleh enam lelaki dipercayai dikenali olehnya.

"Sebelum kejadian si mati ada bersama tiga individu (saksi) di dalam rumah iaitu dua lelaki dan seorang wanita.

"Saksi kemudian menghubungi pihak hospital dan pembantu perubatan tiba di tempat kejadian dan mengesahkan mangsa meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Rozi berkata, si mati yang menetap di alamat Taman Gunung Perak, Jalan Lencong Barat, Alor Setar mengalami kecederaan iaitu lebam di pipi kiri, berdarah hidung selain calar pada bahagian dada.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan mangsa ada hubungan dengan seorang wanita yang ada ketika kejadian tetapi tidak dipersetujui oleh keluarganya.

"Kedua-dua saksi yang ada di tempat kejadian turut dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk diambil keterangan.

"Setakat ini suspek sudah dikenal pasti dan tangkapan segera akan dilakukan untuk membantu siasatan," katanya.

Mohd Rozi berkata, mayat mangsa akan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat sekitar jam 9 pagi esok.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 10:38 PM