Muhaamad Hafis Nawawi

REMAJA lelaki cedera di ibu jari tangan kanan selepas dilibas dengan parang oleh penjenayah yang memecah masuk bengkel milik bapanya di Jalan Kangkong, Simpang Empat, di Alor Setar, semalam.

Dalam kejadian jam 9.15 malam itu, mangsa berusia 17 tahun yang datang ke bengkel terserempak dengan suspek berusia 30-an di dalam premis.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, mangsa terus meminta bantuan orang kampung untuk menangkap penjenayah.

Bagaimanapun katanya, suspek bertindak melibas parang dan terkena di ibu jari tangan kanan.

Menurutnya, suspek kemudian melarikan diri dan meninggalkan sebuah Honda EX5 .

“Mangsa yang cedera mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

“Suspek sudah dikenal pasti dan usaha mengesannya kini sedang giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Rozi berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 September 2018 @ 7:39 PM