GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


POLIS memburu pekerja cuci kereta yang dipercayai melarikan wang tunai lebih RM6,000 milik majikannya ketika lelaki itu ke masjid menunaikan solat tarawih, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, kejadian disedari lelaki berusia 54 tahun terbabit selepas dia pulang ke rumah di Chennah, Jelebu 10 malam.

Menurutnya, suspek berusia 23 tahun itu tinggal bersama mangsa dan bekerja sebagai pencuci kereta di premis milik mangsa sejak dua minggu lalu.

“Pada malam kejadian, mangsa mengajak suspek menunaikan solat tarawih di masjid berhampiran namun suspek menolak dengan alasan penat.

“Sebaik mangsa pulang ke rumah 10 malam, dia dapati pintu terbuka tetapi suspek tiada di rumah dan mangsa tidak mengesyaki apa-apa.

“Mangsa terus tidur dan keesokan paginya dia mahu mengajak suspek ke tempat kerja tetapi menyedari lelaki itu tiada. “Mangsa kemudian memeriksa duit yang disimpan di dalam biliknya dan mendapati ia sudah hilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamarul Rizal berkata, mangsa mengesyaki wang itu dilarikan suspek lalu sebelum membuat laporan polis Khamis lalu.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau membabitkan dadah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan dan polis kini giat mengesan suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 1:55 PM