NAZIR Masjid Taman Sri Muda, Harani . FOTO Murnaena Muhammad Nasir
NAZIR Masjid Taman Sri Muda, Harani . FOTO Murnaena Muhammad Nasir
Murnaena Muhammad Nasir

Kuala Lumpur: Kebenaran menunaikan solat tarawih secara berjemaah di masjid dan surau malam tadi memberikan pengalaman bermakna kepada jemaah selepas tidak dapat melaksanakannya tahun lalu ekoran pandemik Covid-19.

Nazir Masjid Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor, Harani Md Saad, 55, berkata, kebenaran melaksanakan solat fardu dan tarawih di masjid serta surau jelas mengembalikan 'aura' Ramadan yang tidak didapat dirasai tahun lalu.

"Ramadan tahun lalu, rasa sepi saja kerana hanya tiga orang daripada kalangan Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid dibenarkan melaksanakan tarawih.

"Kini, kembali meriah apabila lebih 250 jemaah hadir malam tadi dan rata-rata jemaah juga gembira dapat melakukan lebih banyak ibadah di masjid selepas ini," katanya ketika ditemui.

Menurutnya, semua jemaah yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan membawa sejadah sendiri, memakai pelitup muka dan mengambil bacaan suhu badan serta merekod nama.

Katanya, walaupun majlis iftar atau berbuka puasa dan moreh selepas solat tarawih tidak dibenarkan, kedatangan jemaah untuk ibadah terawih ke masjid itu sudah cukup menyerikan suasana bulan mulia ini.

Sementara itu, pekerja swasta, Muhammad Aifaa Redzuan, 33, juga tidak melepaskan peluang melaksanakan tarawih pada malam pertama Ramadan di Surau Jumaat An-Naim, Wangsa Maju, di sini.

"Saya ke masjid bersama kawan. Ramadan kali ni sangat bermakna bila dapat pergi bertarawih di masjid dengan mematuhi SOP ditetapkan.

"Bila diingatkan kembali tahun lalu, tarawih di rumah sepanjang Ramadan tetapi tahun ini, Alhamdulillah boleh ke masjid, perasaan sangat lain bila kita lakukannya di rumah berbanding di masjid," katanya ketika dihubungi.

MUHAMMAD Aifaa merakam suasana tarawih normal baharu di Surau Jumaat An-Naim, Wangsa Maju, Kuala Lumpur yang dihadirinya, semalam. FOTO Ihsan Muhammad Aifaa Redzuan
MUHAMMAD Aifaa merakam suasana tarawih normal baharu di Surau Jumaat An-Naim, Wangsa Maju, Kuala Lumpur yang dihadirinya, semalam. FOTO Ihsan Muhammad Aifaa Redzuan

Menurutnya, dia hadir ke surau itu seawal 8.30 malam dan mendapati ia hampir penuh dengan jemaah setempat.

"Dari awal lagi sudah pasang niat untuk ke masjid berjemaah dan melakukan ibadah sunat tarawih di malam pertama Ramadan tahun ini.

"Mujur, dapat tempat sebab apabila saya sampai ke surau itu sudah hampir penuh," katanya.

Dalam pada itu, ibu tiga anak, Siti Hajar Elyana Muda, 27, turut menzahirkan rasa syukur dapat melaksanakan tarawih di Masjid Jamek Pengadang Baru, Kuala Terengganu bersama suaminya, Ahmad Hafizan Ibrahim, 32.

"Lebih setahun saya tidak dapat menunaikan sebarang ibadah di masjid gara-gara Covid-19. Kerana itu, saya rebut peluang untuk merasai sendiri suasana tarawih yang tidak dapat dirasakan tahun lalu dengan bersolat di masjid," katanya ketika dihubungi.

SITI Hajar dan suami, Ahmad Hafizan tidak melepaskan peluang hadir ke masjid untuk melaksanakan solat tarawih, semalam.
SITI Hajar dan suami, Ahmad Hafizan tidak melepaskan peluang hadir ke masjid untuk melaksanakan solat tarawih, semalam.

Kongsinya, penagalaman menunaikan ibadah itu nyata berbeza disebabkan perlu mematuhi SOP ditetapkan.

"Dulu, kami sekeluarga, anak-anak dan orang tua saya dapat terawih bersama di masjid tetapi kali ini tidak boleh kerana perlu patuh pada SOP.

"Sebaik saja habis solat terus balik dan tiada lagi amalan salam menyalam sesama jemaah wanita mahupun moreh bersama," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 3:02 PM