PARAS air di Sungai Teriang meningkat mendadak hingga mengakibatkan banjir di Jelebu. FOTO IHSAN APM
PARAS air di Sungai Teriang meningkat mendadak hingga mengakibatkan banjir di Jelebu. FOTO IHSAN APM
BERNAMA

JUMLAH mangsa banjir di Jelebu meningkat sedikit pagi ini kepada 166 orang daripada 49 keluarga berbanding semalam seramai 162 mangsa daripada 47 keluarga.

Semua mangsa masih ditempatkan di lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas kediaman mereka ditenggelami air ekoran hujan lebat, semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Jelebu dalam kenyataan, menyatakan semua PPS membabitkan Masjid Kampung Poum, Dewan Orang Ramai Kampung Chennah, Balai Raya Kampung Juntai, Balai Raya Simpang Durian dan Masjid Kampung Jerang.

“Pertambahan bilangan khususnya di PPS Masjid Kampung Jerang kerana terdapat mangsa yang dipindahkan dan lewat mendaftar.

“Bagaimanapun, keadaan paras air pagi ini menunjukkan penurunan dan pemantauan akan diteruskan,” kata kenyataan itu di Seremban, hari ini.

Semua pusat pemindahan mula dibuka antara 11.30 malam tadi sehingga 4.30 pagi, hari ini.

Antara kampung terjejas ialah Kampung Telekong, Chennah, Juntai, Simpang Durian dan Kampung Jerang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Oktober 2019 @ 8:49 AM