KEADAAN banjir di Kampung Telekong, Chennah. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap.
KEADAAN banjir di Kampung Telekong, Chennah. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap.
Abnor Hamizam Abd Manap


HUJAN lebat selama tujuh jam bermula tengah hari semalam menyebabkan empat kampung di Jelebu, dilanda banjir kilat malam tadi.

Kampung terjejas adalah Kampung Chalin, Kampung Chennah, Kampung Telekong dan Kampung Poum.

Paras air Sungai Kenaboi melimpahi tebing menyebabkan kejadian berlaku dengan pantas ketika kebanyakan umat Islam sedang menunaikan solat tarawih.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung MPKK ) Rosmadi Arif berkata, pada jam 8 malam, dia dimaklumkan kejadian 'kepala air' oleh seorang penduduk dari Kampung Esok yang terletak berhampiran dengan Kampung Chennah.

Katanya, berikutan aduan itu, dia memaklumkan kepada anggota polis di Balai Polis Chennah dan kepada penduduk yang kebiasaan mengalami banjir untuk berjaga-jaga.

"Pada 8.30 malam pula, saya mendapat panggilan telefon dari seorang penduduk yang memberitahu dia dan lapan ahli keluarga termasuk seorang anak orang kurang upaya (OKU) terperangkap di dalam kebun durian berhampiran Sungai Kenaboi di Kampung Chalin.

"Satu gerakan menyelamat kemudian dijalankan oleh anggota bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Pejabat Pembangunan Daerah Jelebu dan sukarelawan MPKK menggunakan bot penyelamat bomba bermula 11 malam.

"Kesemua mangsa diselamatkan pada jam 2 pagi dan ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Datuk Undang Abdullah (SKDUA) ,"katanya ketika dihubungi.

Rosmadi berkata, secara keseluruhan seramai 43 orang dari lapan keluarga dipindahkan ke PPS SKDUA dan operasi pemindahan selesai pada 5 pagi tadi.

Katanya, pihak MPKK menyediakan sebanyak 70 bungkus juadah untuk sahur bagi kesemua mangsa banjir dan petugas.

"Ketika ini, air banjir semakin surut dan penduduk akan dibenarkan pulang sekiranya keadaan semakin bertambah baik," katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Pertang Noor Azmi Yusof turut membantu kerja menyelamat dan melawat mangsa di PPS.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2020 @ 9:08 AM