Pil ekstasi yang dirampas semalam. FOTO Ihsan Kastam
Pil ekstasi yang dirampas semalam. FOTO Ihsan Kastam
Garret Dawum


MISTERI bungkusan yang diisytihar mengandungi coklat terbongkar selepas pemeriksaan kastam menemui 24,594 pil ekstasi di premis Pos Laju, Miri semalam.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, bungkusan mengandungi dadah yang cuba diseludup itu dirampas daripada lelaki berusia 20-an pada 9.45 pagi.

“Bertindak atas maklumat awam, penguat kuasa JKDM Miri dengan bantuan anggota Cawangan Narkotik JKDM Sarawak menggerakkan operasi bagi mengesan dan menahan pemilik bungkusan yang disyaki mengandungi dadah.

“Hasil pemeriksaan terhadap lelaki terbabit, bungkusan yang diambil dari pejabat pos berkenaan diikrar sebagai coklat dan tercatat nama seorang wanita sebagai penerima rupa-rupanya berisi pil ekstasi,” katanya hari ini.

Beliau berkata, penahanan lelaki itu turut membawa kepada rampasan 30 paket serbuk kristal disyaki dadah jenis ketamine 26.88 gram yang disimpan di dalam kereta.

“Suspek bersama bungkusan serta sebuah kenderaan ditahan untuk siasatan lanjut dan anggaran nilai keseluruhan rampasan adalah RM1,266,375.20,” katanya.

Dalam pada itu, Sharifah Halimah berkata, hasil risikan awal terhadap alamat rumah yang digunakan mendapati rumah itu didiami ramai penghuni berdasarkan kepada jumlah kenderaan yang berada di kawasan rumah itu.

“Rumah ini dikhuatiri dijadikan pusat pembungkusan bagi penjualan dan pengedaran dadah ke seluruh Sarawak dan Brunei.

“Siasatan diteruskan bagi mengesan individu yang disyaki terbabit dalam pengedaran itu.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 4:03 PM