KETULAN mampat daun tumbuhan kering yang disyaki  dadah ganja yang dirampas JKDM Sarawak. FOTO Ihsan JKDM.
KETULAN mampat daun tumbuhan kering yang disyaki dadah ganja yang dirampas JKDM Sarawak. FOTO Ihsan JKDM.
Norsyazwani Nasri


Kuching: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas lebih 48 kilogram dadah bernilai RM 2.7 juta sepanjang Januari hingga November tahun ini.

Sementara, bagi tempoh November hingga bulan ini, JKDM mematahkan tiga kes penyeludupan dadah disyaki ganja dianggarkan bernilai RM 238,510 di Kuching dan Miri.

Pengarah JKDM Sarawak Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, terbaru pada 14 Disember lalu, JKDM mematahkan cubaan menyeludup dadah jenis ganja menerusi kurier di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), di sini.

"Bungkusan pertama dikesan pada 10.30 pagi manakala bungkusan kedua pada 4.30 petang selepas imbasan dilakukan ke atas bungkusan yang diikrarkan sebagai 'spare part' itu.

"Pemeriksaan rapi ke atas bungkusan itu menemui lapan paket kedap udara yang mengandungi ketulan mampat daun tumbuhan kering yang disyaki ganja di dalam bungkusan pertama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Ahmad Taufik berkata, pihaknya menemui empat paket kedap udara berisi ketulan mampat daun tumbuhan kering dipercayai dadah jenis ganja dalam bungkusan kedua.

Menurutnya, berat kasar kesemua lapan paket di dalam bungkusan pertama adalah seberat 2,096 gram dianggarkan bernilai RM 9,800, manakala bungkusan kedua mengandungi ganja seberat 1,041 gram dengan nilai anggaran RM 4,550.

Dalam kes berasingan, ada 20 Disember lalu, JKDM Miri menahan lelaki warga asing di luar premis syarikat kurier di Miri dan merampas 1,042 gram ketulan mampat daun tumbuhan kering disyaki ganja dianggar bernilai RM 4,600.

Sementara, pada 30 November lalu. JKDM Miri menangkap pasangan suami isteri berusia lewat 60-an di luar premis sebuah syarikat kurier di Miri ketika ingin menuntut bungkusan kurier dipercayai mengandungi dadah pada 9.45 pagi.

"Pemeriksaan rapi ke atas bungkusan itu menemui 500 paket kecil yang didakwa sebagai ubat tradisional cina.

"Ujian awal yang dilakukan terhadap kandungan paket itu mendapati ia positif dadah jenis ketamin dengan berat kasar 3,992 gram dianggarkan bernilai RM 219,560," katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati bungkusan itu untuk kes kedua dan ketiga dikirimkan ke bandaraya Miri dari Semenanjung Malaysia dengan menggunakan perkhidmatan kurier tempatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2022 @ 10:41 PM