Dadah bernilai RM505,900 yang dirampas daripada dua individu oleh JKDM. FOTO Ihsan JKDM
Dadah bernilai RM505,900 yang dirampas daripada dua individu oleh JKDM. FOTO Ihsan JKDM
Mohd Roji Kawi


DUA penumpang pesawat yang baru tiba dari Pulau Pinang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching semalam selepas didapati cuba menyeludup methamphetamine ke Sarawak.

Wanita berusia 20-an ditahan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada 8.55 pagi selepas imbasan dilakukan terhadap bagasinya mengesan imej mencurigakan.

Pegawai Cawangan Narkotik JKDM yang melakukan pemeriksaan rapi terhadap bagasi berkenaan menemui sebuah kotak ‘barbeque pot’ yang mengandungi lima bungkusan berbalut kertas karbon.

Pengarah JKDM Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, pemeriksaan lanjut di dalam bungkusan itu menemui bahan kristal dikenalpasti methamphetamine.

“Anggaran berat kasar semua lima bungkusan bahan kristal disyaki methamphetamine itu adalah 5,049 gram dengan nilai anggaran RM252,450.

“Suspek kini ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lima minit selepas penahanan wanita itu, pegawai JKDM mengesan imej mencurigakan di dalam bagasi seorang lelaki berusia awal 40-an yang menaiki pesawat sama dari Pulau Pinang dan pemeriksaan lanjut juga menemui sebuah ‘barbeque pot’ di dalam bagasi itu.

Pemeriksaan menemui lima bungkusan berbalut kertas karbon mengandungi ketulan kristal disyaki dadah.

Anggaran berat kasar lima bungkusan bahan kristal disyaki methamphetamine itu adalah 5,069 gram dengan nilai anggaran RM253,450.

Berdasarkan modus operandi kedua-dua kes itu yang menyembunyikan dadah di dalam bekas sama iaitu ‘barbeque pot’ serta jumlah berat barangan larangan yang hampir sama, kedua-dua suspek disyaki anggota sindiket sama.

Sharifah Halimah berkata, kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, dari Januari lalu hingga semalam, JKDM Sarawak berjaya merampas dadah bernilai RM2.3 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 8:55 PM