BUNGKUSAN dadah yang diseludup ke Kuching menggunakan bas ekspres yang dirampas oleh JKDM menerusi Ops Bersepadu Sekatan Jalanraya (SJR) di Jalan Sarikei - Sri Aman yang dijalankan pada 26 September hingga 9 Oktober lalu. FOTO MELVIN JONI
BUNGKUSAN dadah yang diseludup ke Kuching menggunakan bas ekspres yang dirampas oleh JKDM menerusi Ops Bersepadu Sekatan Jalanraya (SJR) di Jalan Sarikei - Sri Aman yang dijalankan pada 26 September hingga 9 Oktober lalu. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni

Kuching: Taktik penyeludupan dadah menggunakan bas ekspres terbongkar apabila sembilan tangkapan dibuat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menerusi Ops Bersepadu Sekatan Jalan Raya di Jalan Sarikei-Sri Aman pada 26 September hingga 9 Oktober lalu.

Malah, operasi itu turut berjaya menumpaskan cubaan mengedar dadah jenis Methamphetamine, ketamin serta ekstasi bernilai RM1.15 juta.

Pengarah Kastam Sarawak Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, tangkapan pertama dibuat jam 2.18 pagi, 1 Oktober lalu.

"Kami menemui kotak mengandungi empat paket 'Fresh Fruit Milk' dalam bentuk serbuk disyaki campuran ketamin seberat 128 gram bernilai RM19,200 di ruang kargo sebuah bas.

"Dalam kotak sama, kami turut menemui dua paket ekstasi seberat 32 gram bernilai RM1,600," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut beliau, tangkapan kedua juga dilakukan pada 1 Oktober iaitu pada jam 2.22 pagi.

Kata beliau, pihaknya menemui kotak mengandungi sepaket ketamin seberat 50 gram bernilai RM7,500 di ruang kargo sebuah lagi bas.

Selain itu, turut ditemui kotak mengandungi sepaket ketamin seberat 50 gram bernilai RM7,500.

"Tangkapan seterusnya dilakukan jam 4.56 pagi, pada 1 Oktober selepas kami menemui kotak mengandungi dua paket Methamphetamine seberat lebih dua kilogram bernilai RM73,600, juga dalam ruang kargo sebuah bas.

"Manakala pada 4 Oktober, pada jam 1.30 pagi, kami menemui kotak mengandungi tiga paket berisi 100 pil disyaki dadah seberat 96 gram bernilai RM4,800 dalam ruang kargo sebuah bas," katanya.

Sementara pada 5 Oktober, jam 11.30 pagi, beliau berkata, pihaknya menemui kotak mengandungi lima botol tidak berlabel berisi 300 biji pil disyaki dadah seberat 160 gram bernilai RM24,000 dalam ruang kargo sebuah bas lain.

"Pada pemeriksaan sama, kami menemui satu lagi kotak berisi lima paket 'Juice Master' berisi ketamin seberat 160 gram bernilai RM24,000," katanya.

Bagi tangkapan kelapan dan kesembilan, Ahmad Taufik berkata, ia dilakukan jam 2.33 pagi pada 6 Oktober lalu.

Ia membabitkan penemuan kotak mengandungi dua paket berisi ekstasi seberat 40 gram bernilai RM2,000 dalam ruang kargo sebuah bas.

Katanya, pada pemeriksaan sama, turut ditemui kotak mengandungi 40 paket 'Juice Original Papaya Powder' berisi 1.4 kilogram ketamin bernilai RM210,000.

Susulan operasi sama, pada 26 September lalu, JKDM merampas 100 paket Juice Master disyaki campuran ketamin bernilai RM384,700.

"Pemeriksaan bertumpu kepada perkhidmatan bas kargo atau ekspres antara bandar untuk menyekat aktiviti pengedaran dadah di sepanjang laluan utama menuju ke Bandaraya Kuching.

"Kebanyakan dadah yang ditemui dibungkus dalam bungkusan kargo bersaiz kecil serta menggunakan paket makanan. Ia untuk mengaburi pihak berkuasa," katanya.

Ahmad Taufik berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, sabit kesalahan boleh digantung sampai mati.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dadah dan lain-lain barangan seperti rokok, minuman keras dan mercun dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-88-8855.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 4:43 PM