ANTARA peserta TOT. FOTO ihsan JAKIM
ANTARA peserta TOT. FOTO ihsan JAKIM
Mahaizura Abd Malik


BAGI memastikan industri halal berkembang maju, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil inisiatif menganjurkan kursus intensif Training of Trainer (TOT) kepada 50 peserta, kelmarin.

Pengarah Majlis Halal Malaysia JAKIM Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, kursus itu bagi memantapkan ilmu dan kepakaran tenaga pengajar dalam kalangan rakan strategik Malaysia International Halal Academy (MIHA).

“Program dikendalikan Sekretariat Majlis Halal Malaysia dengan kerjasama Persatuan Rakan Strategik itu mendedahkan maklumat terkini berkaitan prosedur dan standard halal supaya dapat menyalurkannya dalam program akan dilaksanakan bersama industri.

“Kursus ini juga untuk memastikan peserta mendapat maklumat terkini tepat daripada JAKIM selain menjelaskan hala tuju halal Malaysia ke peringkat global,” katanya.

Katanya, MIHA dan Majlis Halal Malaysia bertanggungjawab sepenuhnya melaksanakan latihan halal bersama rakan strategik.

“Dengan kaedah kerjasama pintar kita melaksanakan program Pembangunan Kapasiti Halal (PKH) secara Training & Coaching sama ada dalam dan luar negara ke arah melahirkan lebih ramai tenaga kerja halal terlatih.

“MIHA adalah inisiatif di bawah Majlis Halal Malaysia (MHM) bagi memperkasakan ekosistem halal Malaysia berkaitan PKH dan mengukuhkan potensi modal insan halal supaya sentiasa relevan dengan senario semasa,” katanya.

Katanya, selain itu JAKIM juga bekerjasama dengan Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) dalam menganjurkan program kesedaran halal kepada pengusaha hotel di Malaysia semalam.

“Program ini antara lain memberi pendedahan mengenai keperluan memiliki pensijilan halal Malaysia termasuk isu berkaitan promosi Buffet Ramadan.

“Peserta juga didedahkan aspek pemantauan dan penguatkuasaan termasuk proses membuat permohonan sijil halal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 3:04 PM