Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) disenarai pendek untuk Anugerah Organisasi Penggalakan Perdagangan Dunia (WTPO) 2022 oleh Pusat Perdagangan Antarabangsa (ITC) yang berpangkalan di Geneva sebuah agensi bersama Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Matrade antara empat finalis dicalonkan dalam kategori Penggunaan Teknologi Maklumat Terbaik atas inisiatifnya menganjurkan edisi maya Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) ke-17 dari 9 September hingga 31 Disember 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, sejak pandemik Covid-19 melanda, Matrade mengambil inisiatif mempercepat agenda pendigitalan dalam penggalakan dan pembangunan eksport dengan memanfaatkan pelbagai platform dalam talian.

"Mihas 2021 bukti kejayaan Matrade membantu syarikat Malaysia dalam eksport melalui pendigitalan.

"Menerusi pencalonan bagi satu daripada beberapa kategori untuk Anugerah WTPO, Matrade diiktiraf atas keupayaannya dalam memperkukuh daya saing perdagangan Malaysia di peringkat global," katanya dalam kenyataan.

Katanya, Mihas ke-17 melakar rekod jualan eksport tertinggi baharu apabila mencatatkan RM2.13 bilion daripada komponen mesyuarat perniagaan dalam talian dan pameran maya dengan penyertaan perniagaan tempatan dan antarabangsa.

Selain kategori Penggunaan Teknologi Maklumat Terbaik, dua kategori lain iaitu Penggunaan Perkongsian Terbaik dan Inisiatif Terbaik bagi Memastikan Perdagangan Inklusif dan Mampan juga disaingi Organisasi Penggalakan Perdagangan (TPO) lain.

Pemenang bagi setiap kategori diumumkan pada majlis anugerah itu yang akan berlangsung di Accra, Ghana pada 17 Mei 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2022 @ 7:45 AM