Mohd Mustafa berucap mengenai MIHAS 2022 sedia pacu pertumbuhan ekonomi halal pada pameran halal terbesar dunia di Menara Matrade. FOTO AMIRUDIN SAHIB
Mohd Mustafa berucap mengenai MIHAS 2022 sedia pacu pertumbuhan ekonomi halal pada pameran halal terbesar dunia di Menara Matrade. FOTO AMIRUDIN SAHIB
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) optimis untuk mencapai transaksi jualan sebanyak RM1.9 bilion sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia Ke-18 (Mihas 2022).

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, Mihas 2022 dijangka terus menjadi pemangkin perdagangan Malaysia tahun ini, dengan meneruskan momentum yang kukuh.

Katanya, minat dan penyertaan lebih menggalakkan dalam pasaran halal yang kian berkembang adalah satu petanda positif yang diharapkan daripada pameran tahun ini.

"Kami komited untuk menghubungkan jenama terkenal dan peserta baru untuk meneroka potensi besar pasaran halal global.

"Mihas 2022 kali ini turut menyediakan 1,196 tapak pameran membabitkan 13 kluster utama dengan jangkaan 400 penyertaan pembeli antarabangsa.

"Kami positif untuk mencapai transaksi jualan RM1.9 bilion sepanjang empat hari pameran berlangsung secara fizikal dan maya dari 7 hingga 10 September 2022," katanya kepada media di majlis Mihas Reconnect di sini, hari ini.

Acara terulung Matrade ini akan diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) dan diadakan serentak secara digital di pentas global.

Mohd Mustafa berkata, Mihas adalah satu daripada faktor utama yang menyumbang kepada prestasi positif dagangan luar Malaysia pada 2021 yang mencecah paras rekod RM2.2 trilion, daripada angka terbabit, eksport berjumlah RM1.2 trilion, manakala import mencatatkan nilai RM987 bilion.

Menurutnya, Mihas juga terkenal sebagai acara terbaik untuk membina jaringan dalam industri halal dan Mihas 2022 kini menjangkaui segmen halal tradisional.

Beliau berkata, untuk terus melangkah maju, Matrade turut menambah segmen Seni dan Budaya Islam sebagai kelompok ke-13 dalam Mihas 2022.

Katanya, ia menyokong perniagaan sedia ada termasuk farmaseutikal, kewangan Islam, fesyen, media dan rekreasi, kosmetik dan penjagaan peribadi, teknologi makanan, francais, pelancongan mesra Islam, perkhidmatan dan pendorong serta pendidikan dan e-dagang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2022 @ 2:42 PM