GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2021 bakal menampilkan 549 peserta pameran maya membabitkan 303 pempamer antarabangsa terdiri dari 43 negara.

Dihoskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dan dianjurkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Mihas kali ke-17 itu julung kali dijalankan secara maya sepenuhnya.

Pengerusi Matrade, Tan Sri Dr Halim Mohammad berkata, Mihas dijangka menjadi pameran perdagangan halal global paling lama dianjurkan.

Katanya, Mihas juga akan menjadi pemangkin untuk menghidupkan semula ekonomi halal global, dalam menghadapi cabaran pandemik Covid-19.

"Kami menanti untuk menghidupkan semula kedudukan Malaysia sebagai hab halal global dengan satu lagi kejayaan positif di tengah persekitaran mencabar sekarang.

"Matrade gembira dengan penganjuran Mihas 2021 yang juga menjadi siri pameran digital pertama menawarkan peluang perdagangan dan jalinan pasaran berkaitan dengan ekonomi halal global.

"Penganjuran pameran secara maya ini membolehkan perdagangan rentas sempadan dan pertukaran maklumat selain memberi manfaat kepada perniagaan tempatan serta antarabangsa," katanya di majlis pelancaran Mihas 2021 secara maya, hari ini.

Halim berkata, dalam usaha untuk memajukan perkembangan eksport Malaysia, Matrade juga akan mewujudkan pelbagai perkongsian awam-swasta pada pelancaran rasmi Mihas 2021, pada Khamis ini.

Beliau berkata, Mihas 2021 akan menawarkan pasaran halal rentas sempadan kepada komuniti perdagangan tempatan dan antarabangsa.

Bertemakan 'Memperkasa Halal, Esok, Bersama', Mihas 2021 dapat diakses sehingga 31 Disember 2021.

Pada tahun ini juga, pameran maya disusun dengan tiga komponen utama, pameran maya, pemadanan perniagaan B2B (International Sourcing Program-INSP) juga dikenali sebagai eBizMatch dan hab pengetahuan.

Antara negara terbabit di Mihas 2021 termasuk Indonesia (45 peserta pameran), China (25), Filipina (20), Korea Selatan (18) dan Thailand (16).

Untuk maklumat ll0njut atau mendaftar sebagai pelawat Mihas, boleh melayari www.mihasvirtual.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 7:31 PM