Marzuki  bersama Siti Salina menunjukkan gambar rumah yang diubah suai  beserta salinan laporan polis.
Marzuki bersama Siti Salina menunjukkan gambar rumah yang diubah suai beserta salinan laporan polis.
Hadzlihady Hassan


Georgetown: Kontraktor kaki kencing. Itu gelaran sesuai buat seorang lelaki yang dikesan menipu mangsa mahu melakukan pengubahsuaian rumah apabila dia mengambil wang dan hanya melakukan kerja separuh jalan.

Lelaki berusia 38 tahun itu kini dikatakan sudah melarikan diri selepas gagal menyiapkan kerja ubah suai rumah seperti dijanjikan dan sehingga kini dikatakan terdapat sekurang-kurangnya 10 mangsa ditipunya.

Mangsa, Marzuki Husain, 51, berkata, dia mengalami kerugian RM25,000 selepas kontraktor dilantik untuk melakukan kerja pengubahsuaian rumahnya gagal menyiapkan kerja seperti dijanjikan.

Menurut Marzuki yang juga seorang ahli perniagaan, dia mengenali kontraktor terbabit selepas terlihat iklan dalam laman Facebook sebelum menghubungi pemilik akaun berkenaan.

Beliau berkata, selepas mengadakan pertemuan, dia dan isteri, Siti Salina Shaikh Ariffin, 51, bersetuju untuk melantik kontraktor terbabit melakukan kerja ubah suai rumah dua setengah tingkat milik mereka di Batu Kawan.

“Saya menyerahkan wang berjumlah RM14,400 kepada kontraktor terbabit pada 26 April lalu dan membuat bayaran kedua berjumlah RM21,600 pada 5 Mei lalu.

“Bayaran ketiga berjumlah RM14,400 dilakukan pada 18 Mei lalu, manakala bayaran keempat berjumlah RM6,000 dibuat pada 30 Jun lalu dan bayaran akhir berjumlah RM4,800 dilakukan pada 3 Julai lalu,” katanya.

Menurutnya, jumlah keseluruhan bayaran dilakukan ialah RM61,200 dan kontraktor terbabit berjanji akan menyiapkan kerja dalam tempoh sembilan minggu seperti termaktub dalam kontrak.

Bagaimanapun, katanya, selepas sembilan minggu berlalu, kontraktor terbabit gagal menyiapkan projek berkenaan dan dia masih memberikan tempoh kepadanya untuk melengkapkan kerja.

“Namun, kerja ubah suai rumah saya masih terbengkalai dan kontraktor berkenaan memberi pelbagai alasan setiap kali dihubungi untuk berbincang.

“Kerja ubah suai itu masih tertangguh sehingga kini yang membabitkan kerugian RM25,000 dan saya yang tidak berpuas hati akhirnya bertemu dengan kontraktor terbabit dan membuat perjanjian dipersetujui kedua-dua pihak.

“Dalam surat perjanjian itu, saya meminta syarikat kontraktor berkenaan menyiapkan kerja sebelum 30 September lalu dan sekiranya gagal, dia perlu membayar denda sebanyak RM800 sehari,” katanya.

Marzuki berkata, sekiranya masih gagal hingga 15 Oktober lalu, kontraktor itu perlu memulangkan semua wang yang dibayar, namun dia masih berdegil dan cuba melarikan diri.

Menurutnya, dia dan isteri cuba menghubungi kontraktor berkenaan, namun sehingga kini panggilan serta mesej yang diberikan mereka langsung tidak dibalas.

“Berikutan itu, saya membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan kerja dilakukan kontraktor berkenaan.

“Malah, saya dan isteri turut terkejut apabila mendapati ramai lagi mangsa merungut dan mendakwa turut menjadi mangsa penipuannya dalam Facebook,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2016 @ 9:33 AM