NADZIM (dua dari kiri) pada sidang media, semalam.
NADZIM (dua dari kiri) pada sidang media, semalam.
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: “Ada yang berniaga sendiri, ada yang bawa teksi, malah terpaksa bekerja sebagai pencuci pinggan untuk meneruskan hidup. Ia bukan salah kami, jadi saya harap, pihak berkenaan tampil menyelesaikan isu tunggakan gaji kakitangan Rayani Air,” kata wakil kakitangan, Azaharudin Mohamad.

Katanya, ketika ini, semua 415 kakitangan syarikat penerbangan itu memohon supaya diberikan notis pemberhentian kerja serta sebulan gaji sebagai langkah permulaan kerana mereka merasakan seolah-olah dianiaya oleh kegagalan pengurusan syarikat terbabit.

Menurutnya, mereka hanya mengetahui apa juga perkembangan isu syarikat terbabit menerusi media kerana setakat ini, belum ada wakil syarikat tampil untuk membincangkan status terkini selepas tidak menerima gaji sejak Mac lalu.

“Kalau ikut laporan media, notis pemberhentian sudah dikeluarkan, namun setakat ini kami masih belum menerima apa-apa notis berkaitan. Kami kecewa kerana pemilik syarikat gagal untuk membayar gaji dan elaun sejak 28 Mac lalu.

“Disebabkan itu, ada antara kakitangan darat terpaksa buat kerja lain seperti berniaga, bawa Grab Car dan teksi. Ada kakitangan penerbangan yang mengintai peluang di tempat lain kerana masalah ini tidak selesai,” katanya pada sidang media bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), semalam.

Hadir sama, Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan dan wakil pembeli tiket, Azlan Latang.

Sementara itu, Azlan berkata, dia dan lebih 500 pembeli tiket lain tidak berputus asa untuk mendapatkan semula tuntutan pembelian tiket keseluruhannya berjumlah RM173,162.60 seperti dijanjikan pemilik syarikat sebelum ini.

Katanya, mereka diberikan cek yang sepatutnya boleh ditunaikan pada 30 Jun lalu, namun hampa selepas mendapati ia adalah cek tendang.

“Setakat ini, kami masih berusaha walaupun pelbagai janji diberikan pemilik. Jadi saya minta pihak berwajib membantu kami di dalam kes ini kerana kami hanya mahukan wang kami semula,” katanya.

Azlan berkata, pembeli tiket terbanyak setakat ini kerugian RM12,000 selain ada yang rugi RM8,000 dengan jumlah 25 tiket dan terpaksa menanggung kerugian yang besar.

Dalam pada itu, Nadzim berkata, pihaknya menggesa satu mekanisme secara menang-menang diperkenalkan sebagai usaha menyelesaikan isu itu demi kepentingan bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2016 @ 10:13 AM