NURUL Hana Zakaria, 26, memangku anaknya Muhammad Nazmi Ammar, 10 bulan yang mempunyai masalah paru-paru sempit dan perlu menggunakan mesin oksigen bagi membantu dia bernafas. FOTO Noorazura Abdul Rahman
NURUL Hana Zakaria, 26, memangku anaknya Muhammad Nazmi Ammar, 10 bulan yang mempunyai masalah paru-paru sempit dan perlu menggunakan mesin oksigen bagi membantu dia bernafas. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


“SAYA bersyukur pihak Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, meluluskan permohonan mesin oksigen anak saya dan menerima mesin itu Rabu lalu,” kata Nurul Hana Zakaria, 26.

Ibu kepada bayi Sindrom Down, Muhammad Nazmi Ammar berusia 10 bulan yang mengalami masalah paru-paru sempit sejak lahir itu berkata, dia tidak mampu menggambarkan dengan kata-kata perasaannya apabila mendapat tahu pihak HSB bersedia membantu menyediakan mesin itu dengan bayaran yang sangat minimum.

Bagaimanapun katanya, mesin itu masih tidak boleh digunakan dan perlu dibawa kepada doktor pakar di Pulau Pinang yang meminjamkan mesin terbabit sebelum ini bagi melakukan tetapan pada mesin baharu.

“Saya akan membawa anak saya berjumpa beliau pada Mei depan, doktor pakar berkenaan meminta saya membawa mesin baharu untuk melakukan tetapan sebelum digunakan, selepas itu saya akan pulangkan kembali mesin yang dipinjamkan untuk Muhammad Nazmi Ammar.

“Terima kasih kepada HSB yang prihatin dengan nasib anak saya, terima kasih juga kepada doktor pakar yang meminjamkan mesin oksigen, bantuan yang saya perolehi termasuk daripada orang ramai memberi semangat baharu kepada saya dan suami untuk membesarkan anak syurga ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ibu kepada dua orang anak ini berkata, sejak kisah mengenai anaknya disiarkan dalam Harian Metro, ramai individu yang sudi memberi mesin oksigen milik ahli keluarga mereka yang sudah meninggal dunia.

Namun katanya, dia terpaksa menolak dengan baik kerana tidak tahu mengenai jenis mesin terbabit sama ada sesuai untuk anaknya atau tidak.

“Ramai yang menghubungi saya untuk memberi dan meminjamkan mesin oksigen tapi saya terpaksa tolak, mujurlah dalam masa yang sama pihak HSB sudah menghubungi saya meluluskan permohonan duaminggu lalu.

“Terima kasih juga kepada Harian Metro kerana melaporkan kisah Nazmi yang sangat memerlukan bantuan supaya dapat bernafas dengan sempurna,” katanya.

Muhammad Nazmi terpaksa bergantung kepada mesin oksigen elektrik yang dipinjamkan oleh doktor di Pulau Pinang sejak dua bulan lalu kerana masalah dihidapinya.

Selain itu, anak bongsu daripada dua beradik itu turut mempunyai masalah jantung berlubang dan tiroid.

Pada 30 Mac lalu, Harian Metro melaporkan, Nurul Hana dan suaminya, Ammar Abd Razak, 29, sebelum ini resah kerana perlu memulangkan mesin itu tidak lama lagi, sedangkan mereka masih tidak mampu membeli mesin oksigen baharu bernilai RM8,000.

Selain itu, mereka perlu membeli topeng oksigen yang berharga RM3,000 dan alat cair kahak dengan kos kira-kira RM2,500.

Berita berkaitan

Doktor tolong pinjam mesin

'Sokongan anda buat kami kuat'

'Alhamdulillah, duit sudah cukup'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 9:40 AM