MASZELINA Osman, 39, memangku anak tunggalnya, Ahmad Ammar Ibrahim, 4, yang menghidap cerebral palsy sejak berusia sembilan bulan di rumah sewanya di Kampung Danglau, Sik. FOTO Muhammad Mustakim Ramli
MASZELINA Osman, 39, memangku anak tunggalnya, Ahmad Ammar Ibrahim, 4, yang menghidap cerebral palsy sejak berusia sembilan bulan di rumah sewanya di Kampung Danglau, Sik. FOTO Muhammad Mustakim Ramli
Muhammad Mustakim Ramli


TIADA apa yang diharapkan ibu melainkan berdoa anaknya sembuh dan dapat mendengarnya menyebut perkataan emak.

Bagi Maszelina Osman, 39, dia reda dengan keadaan anak tunggalnya, Ahmad Ammar Ibrahim, 4, yang menghidap penyakit ‘cerebral palsy’ sejak berusia sembilan bulan lagi.

“Saya berharap dan berdoa agar anak dapat memanggil saya emak suatu hari nanti. Setakat ini ada masa tertentu dia boleh memanggil suami dengan panggilan ayah, saya berharap sangat dia juga boleh memanggil saya emak.

“Sebelum ini Ammar sihat dan normal seperti bayi lain, namun segalanya berubah sejak 2 Mei 2016 apabila dia mengalami demam panas,” katanya ketika ditemui di Kampung Danglau di Sik, semalam.

Maszelina berkata, dia dan suami, Ibrahim Abdul, 52, kemudian membawa Ammar ke Hospital Sik bagi mendapatkan rawatan sebelum dimaklumkan terdapat darah beku pada bahagian kepalanya.

“Sebelum kejadian, anak saya mengalami demam dan muntah. Sekejap baik, sekejap demam dan muntah kemudian jadi semula hingga sebulan.

“Doktor yang merawat Ammar kemudian membuat keputusan membedahnya dan darah beku berkenaan dapat dikeluarkan pada April 2017,” katanya.

Sejak daripada itu, Ammar terpaksa berjumpa pakar kanak-kanak setiap bulan di Hospital Sik dan pakar otak, mata, hidung serta menjalani fisioterapi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

“Ada masa kami pergi, ada kalanya terpaksa ‘ponteng’ kerana masalah kewangan kerana suami bekerja sebagai penoreh dengan pendapatan tidak menentu.

“Untuk membawa Ammar ke hospital, kami memerlukan sekurangnya-kurangnya RM100 bagi menyewa kereta,” katanya yang turut menerima bantuan RM350 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Maszelina mengakui walaupun menerima bantuan, ianya tidak cukup buat anaknya itu, namun berterima kasih dengan JKM serta individu lain kerana membantu mereka sekeluarga.

“Rumah ini kami sewa RM200 sebulan. Lampin, susu anak sebulan pun RM200 sebulan. Bila dicampur dengan kami perlu menyewa untuk ke hospital, tiada apa yang tinggal.

“Saya berharap ada pihak yang sudi memberi sumbangan kereta sorong bayi buat Ammar kerana beratnya sudah mencecah 18 kilogram menyebabkan dia sukar bergerak ke hospital,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun AgroBank Maszelina 2005 1010 0010 2860 atau menghubunginya di talian 013-459 4253.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 1:57 PM