Ahmad Faizal (kiri) berjalan keluar selepas berjumpa Mohd Fauzi hari ini. FOTO Muhaizan Yahya
Ahmad Faizal (kiri) berjalan keluar selepas berjumpa Mohd Fauzi hari ini. FOTO Muhaizan Yahya
Muhammad Apendy Issahak


KERAJAAN negeri Perak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berhubung penemuan maklumat disyaki penyelewengan peruntukan projek sebuah taman tema di Ipoh membabitkan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah pentadbiran lama.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, laporan berkenaan dibuat pegawai dari pejabatnya kepada SPRM Perak bagi membolehkan siasatan dijalankan.

“Kita melihat betapa projek taman tema itu diperuntukkan sejumlah wang yang pada asalnya hanya jumlah kecil tetapi angka itu melonjak begitu tinggi melebihi 100 peratus dari jumlah asal.

“Selepas mengambil alih kerajaan, kita dapati semakin jelas ada berlaku penyelewengan dan kerajaan negeri berpandangan amat sesuai untuk kita serahkan perkara ini kepada SPRM menjalankan siasatan,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad di Ibu Pejabat SPRM Perak di Ipoh hari ini.

Ahmad Faizal berkata, apa yang dapat dilihat daripada mata kasar adalah salah laku dari aspek peningkatan kos hingga lebih 100 peratus dan kerajaan negeri juga sudah melaksanakan pendengaran melalui Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri (PAC).

Katanya, kerajaan ngeri turut melantik sebuah syarikat audit swasta bagi membuat siasatan terhadap syarikat terbabit yang laporannya dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga bulan.

“Pada mata kasar kita nampak ada keganjilan dan kita perlu ambil tindakan, kerajaan hari ini kalau kita lihat ada yang tak berapa kena, kita akan ambil tindakan,” katanya yang mengakui jumlah wang peruntukan yang terbabit dianggarkan lebih daripada RM100 juta.

Sementara itu, Mohd Fauzi ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat pejabat Menteri Besar berhubung isu berkenaan dan akan menjalankan siasatan menyeluruh.

Media sebelum ini melaporkan, Pengerusi Jawatankuasa Audit Perak Corporation Bhd (PCB), Chong Zhemin menuntut bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir supaya menjelaskan dan bertanggungjawab terhadap peningkatan mendadak kos pembangunan dan pembinaan Movie Animation Park Studios (MAPS) daripada RM390 juta kepada RM607 juta.

Beliau dipetik berkata, walaupun audit dalaman khas mengenai projek itu mendapati tiada sebarang bukti kukuh bagi salah laku atau penipuan, namun wujud persoalan berkaitan beberapa keputusan dan perjanjian berat sebelah yang boleh dibangkitkan dalam hal itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 5:21 PM