DATUK Mohd Fauzi Mohamad (dua kanan) hadir pada Majlis Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa 2020 dan Pelancaran Buku Pelan Antirasuah Organisasi Majlis Perbandaran Manjung 2021-2025, di Manjung. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
DATUK Mohd Fauzi Mohamad (dua kanan) hadir pada Majlis Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa 2020 dan Pelancaran Buku Pelan Antirasuah Organisasi Majlis Perbandaran Manjung 2021-2025, di Manjung. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memantau perkembangan politik di Perak bagi mengesan sebarang tindakan yang cenderung kepada amalan rasuah.

Bagaimanapun, Pengarah SPRM Perak Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan salah laku.

"SPRM tidak menerima apa-apa maklumat atau aduan berhubung kemelut yang berlaku sekarang ini, tetapi kita memerhati dan melihat apa yang akan berlaku.

"Jika kita menerima aduan, kita akan melakukan siasatan seperti biasa mengikut perundangan yang ada," katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2020 dan Pelancaran Buku Pelan Antirasuah Organisasi Majlis Perbandaran Manjung (MPM) 2021-2025 di sini, hari ini.

Jumaat lalu, negara dikejutkan dengan kemelut politik di Perak selepas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal meraih sokongan majoriti bagi usul kepercayaan di Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun).

Mengulas lanjut, Mohd Fauzi berkata, pihaknya tidak berkompromi dengan amalan rasuah dan mana-mana pihak atau individu yang ditawarkan sebarang bentuk suapan diminta melaporkan perkara demikian.

Dalam pada itu, SPRM Perak menahan 100 individu dengan hampir 50 peratus adalah penjawat awam membabitkan pelbagai kesalahan.

"Kebanyakan kesalahan penjawat awam berhubung isu tata kelakuan, penerimaan kontrak, tuntutan rasmi dan sebagainya.

"Dengan usaha dilakukan termasuk pembabitan pihak berkuasa tempatan (PBT), saya berharap lebih banyak pemberi rasuah dapat ditahan pada tahun hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 2:30 PM