ALI  menerima buku laporan audit negara daripada Madinah  di  Auditorium Kompleks C, Putrajaya, semalam.
ALI menerima buku laporan audit negara daripada Madinah di Auditorium Kompleks C, Putrajaya, semalam.
Mohd Husni Mohd Noor dan Siti A’isyah Sukaimi


Putrajaya: Sebanyak 14 jawatan siasatan ditubuhkan bagi menyiasat 60 teguran punitif (hukuman) membabitkan 11 kementerian susulan Laporan Ketua Audit Negara Tahun (LKAN) 2016 Siri 1 yang diumum Isnin lalu.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, antara kementerian terbabit termasuk Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Pertahanan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Kementerian Kerja Raya, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Sumber Manusia (KSM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Kementerian Pendidikan dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri.

“Siasatan terhadap teguran punitif itu dibuat bertujuan memperoleh keterangan relevan dari aspek kesaksian dan keterbabitan pegawai dalam kes dilaporkan.

“Sehubungan itu, tindakan tatatertib, surcaj atau pertuduhan jenayah di mahkamah akan dikenakan terhadap pegawai sekiranya didapati wujud asas kukuh pegawai berkenaan melakukan penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku atau kecuaian pelaksanaan tugas,” katanya pada Sesi Bersama Media susulan laporan audit berkenaan, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad.

Katanya, berdasarkan siasatan setakat Rabu lalu, 31 teguran mempunyai asas untuk dimulakan prosiding tatatertib membabitkan 119 pegawai manakala, 24 teguran didapati tiada unsur penyelewengan, salah guna kuasa atau kecuaian pelaksanaan tugas sebaliknya memerlukan penambahbaikan sistem, prosedur dan peraturan semasa sebagaimana yang disahkan menerusi penelitian oleh Jabatan Audit Negara, Kementerian Kewangan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ali berkata, baki lima teguran lain sedang disiasat lanjut.

Dalam pada itu, katanya, 43 teguran punitif dilaporkan di peringkat kerajaan negeri membabitkan 12 kerajaan negeri iaitu Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sabah.

Menurutnya, 895 teguran audit membabitkan 748 teguran korektif (penambahbaikan sistem dan prosedur) dan 103 teguran punitif.

“Semua teguran berkenaan disentuh dan sudah serta sedang disiasat Jawatankuasa Siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2017 @ 3:23 AM