ALI Hamsa (kiri) menyampaikan Anugerah Khas Ketua Setiausaha Negara (Kepimpinan Terbaik) kepada Mohamad Adam Zakria (kanan). FOTO Surianie Mohd Hanif
ALI Hamsa (kiri) menyampaikan Anugerah Khas Ketua Setiausaha Negara (Kepimpinan Terbaik) kepada Mohamad Adam Zakria (kanan). FOTO Surianie Mohd Hanif
Atikah Sulaiman


Putrajaya : Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Ali Hamsa mencadangkan projek kerajaan dengan kos lebih RM500 juta perlu mendapat penyertaan daripada Ketua Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membanteras penyelewengan.

Katanya, cadangan berkenaan bagi membolehkan kedua-dua agensi berkenaan yang diwakili Ketua Audit Negara dan Timbalan Pengarah SPRM hadir dalam mesyuarat sebagai exco bagi projek mewah berkenaan.

"Projek mewah yang dimaksudkan termasuklah Projek Aliran Transit Massa (MRT) yang dijalankan di negara ini.

"Ini kerana saya tidak mahu berlakunya ketirisan yang dilakukan oleh penjawat awam seperti dilaporkan oleh semua media massa dan elektronik semalam.

"Sehingga kini kita sudah mempunyai kira-kira 1.6 juta penjawat awam tetapi ada 30 orang yang merosakkan nama kita. Jangan kerana beberapa orang yang melakukan perkara tidak berintergriti itu, rosak nama kakitangan awam serta imej negara," katanya dalam ucapan sempena Istiadat Penganugerahan Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (DPA) dan FELO INTAN, di sini hari ini.

Ali dalam pada itu turut mengucapkan tahniah kepada SPRM berhubung rampasan sebanyak RM14.5juta daripada dua pegawai kanan sebuah agensi kerajaan negeri Sabah yang didakwa menyalahgunakan kuasa membabitkan projek infrastruktur bernilai RM3.3bilion.

"Saya menggalakan SPRM untuk mencari lagi namapenjawat awam yang mengambil rasuah kerana ia merosakkan nama baik penjawat awam.

"Kita perlu hidup mengikut keperluan, banyak kes yang terjadi cara hidup mereka sangat mewah dan tidak mengikut pendapatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2016 @ 4:38 PM