BOMBA berusaha mencari pemancing yang dikhuatiri lemas ketika memancing bersama rakannya di Temerloh, malam tadi. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA berusaha mencari pemancing yang dikhuatiri lemas ketika memancing bersama rakannya di Temerloh, malam tadi. FOTO Ihsan Bomba
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


PEMANCING dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai ketika memancing bersama beberapa rakannya di kawasan Kampung Gantuk, Mentakab, di Temerloh, malam tadi.

Dalam kejadian 7.39 malam itu, mangsa Mohd Badli Izam Said Mohammad, 31, dikatakan tergelincir sebelum terjatuh ke dalam sungai.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Anuar Hassan berkata, tiga rakan mangsa yang turut bersamanya ketika itu tidak dapat menyelamatkan lelaki berkenaan di sebabkan keadaan sungai yang berpusar.

“Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Mentakab dikerahkan ke lokasi kejadian bagi melakukan pencarian di sekitar sungai. Pihak polis dan orang awam turut membantu mencari mangsa.

“Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin turut dikerahkan ke lokasi bagi mengesan mangsa menggunakan teknik pencarian di permukaan sungai,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat terpaksa ditangguhkan pada 12 tengah malam dan akan disambung pada 8 pagi ini.

Katanya, operasi mencari mangsa akan diperluaskan termasuk menggunakan beberapa aset bomba seperti bot dan memperluaskan kawasan pencarian dan selaman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 10:11 AM