MAYAT mangsa  ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira tiga kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan tergelincir di sungai itu. FOTO Ihsan Bomba
MAYAT mangsa ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira tiga kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan tergelincir di sungai itu. FOTO Ihsan Bomba
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


SELEPAS empat hari dilaporkan hilang, akhirnya mayat pemancing yang tergelincir di Sungai Semantan di Kampung Gantuk, Mentakab, di Temerloh, ditemui pada 9.30 pagi, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Hisham Mohammad berkata, mangsa Mohd Fadli Izam Said Mohamad, 31, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira tiga kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan tergelincir di sungai itu.

“Selepas empat hari operasi SAR dijalankan untuk mencari mangsa akhirnya mayat lelaki itu ditemui pagi ini.

“Kita turut menggunakan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan unit anjing pengesan (K9) dalam operasi ini termasuk tinjauan di kawasan permukaan Sungai Semantan hingga ke Jambatan Temerloh,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam kejadian 7.39 malam Rabu lalu, mangsa dikatakan tergelincir ke sungai ketika sedang memancing bersama beberapa rakannya sebelum operasi SAR digerakkan.

Ketika kejadian, usaha untuk menyelamatkan mangsa sudah dilakukan rakannya namun gagal disebabkan arus sungai yang deras.

Nor Hisham berkata, penemuan mayat mangsa sudah dimaklumkan kepada keluarga dan pihak polis untuk tindakan lanjut.

Berita berkaitan

Pemancing dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 11:04 AM