Juwan Riduan

Putatan: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki yang dikhuatiri lemas selepas cuba menyelamatkan anaknya berusia lima tahun yang terjatuh bersama kereta miliknya di sungai Kampung Imbahan, di sini, semalam diteruskan pagi ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, operasi SAR hari ke-2 dimulakan pada 6 pagi ini.

"Pasukan bomba bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) menjalankan pencarian menggunakan bot di sekitar lokasi dan memantau keadaan air sungai untuk melakukan selaman.

"Pasukan dari Unit Anjing Pengesan (K9) turut dikerah ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi SAR turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.

"Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa," katanya.

Terdahulu, kejadian jam 5.30 petang semalam, mangsa Lasibi Lawahidu, 40-an, dikatakan terjun ke dalam sungai berkenaan selepas kereta jenis Perodua Myvi yang ketika itu dinaiki anaknya Mushab Umair Lasibi, 5, secara tiba-tiba bergerak lalu terjatuh ke dalam sungai.

KERETA yang terjatuh ke sungai Kampung Imbahan, Putatan, kelmarin manakala pencarian mangsa disambung hari ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
KERETA yang terjatuh ke sungai Kampung Imbahan, Putatan, kelmarin manakala pencarian mangsa disambung hari ini. FOTO MOHD ADAM ARININ

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2023 @ 8:09 AM