Dziyaul Afnan Abdul Rahman


KEK, beberapa botol air mineral dan sekampit beras bekalan buat 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya lelaki selama lapan hari di laut, sebelum mereka mendarat dengan bot di perairan Pantai Sungai Bahru, Kampung Belati, Kangar, awal pagi tadi.

Salah seorang pelarian etnik itu, Abu Hussain Noor Hussain, 20, berkata, sepanjang tempoh itu juga, mereka berkongsi makanan yang sedikit dan terpaksa berhimpit-himpit di atas bot pancung yang membawa mereka.

“Sebelum sampai ke Malaysia, kami menaiki bot kecil berkelajuan sederhana dari Myanmar dan diarahkan berpindah kepada bot yang lebih laju di Thailand, semalam.

“Sepanjang lapan hari berada di lautan, kami hanya berkongsi makanan dan sekiranya tidak mencukupi, kami menangkap ikan di laut.

“Sejurus sampai pada awal pagi tadi, tekong menyuruh kami terjun ke dalam laut sebelum bot itu kembali semula ke perairan Thailand,” katanya.

Hussain yang pernah bekerja di Alor Setar, Kedah pada 2015 mengakui mereka harus membayar antara RM3,000 ke RM4,000 seorang, bagi masuk ke negara ini.

“Ejen menjanjikan peluang pekerjaan kepada kami, malah saya juga pernah berkerja sebagai pemotong rumput dengan sebuah syarikat swasta.

“Tetapi pada 2017, saya pulang ke kampung untuk melihat keluarga. Tetapi akibat kesempitan hidup di sana saya datang semula untuk kehidupan yang lebih sempurna,” katanya.

Sementara itu, Komander AKSEM Perlis, Syed Basri Syed Ali berkata, hasil siasatan awal, mereka masih belum membayar sebarang wang tambang kepada ejen.

“Mereka perlu menelefon ejen di negara asal sekiranya sudah sampai ke negara ini, kemudian ejen terbabit akan ke rumah mereka dan mengambil wang daripada keluarga.

“Malah, kami juga menerima maklumat terdapat kumpulan kedua etnik berkenaan bakal tiba dalam jangka masa terdekat dan akan bersedia untuk itu,” katanya dalam satu sidang media di Kompleks AKSEM Kuala Perlis, hari ini.

Katanya, kesemua PATI itu diserahkan kepada Jabatan Imigresen Perlis untuk tindakan selanjutnya.

Berita berkaitan

'Dah kejar, tapi kasihan pula'

Pelarian Rohingya mendarat lagi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 2:47 PM