Raja Noraina Raja Rahim


"SAYA akan minta Kementerian Luar berbincang dengan kerajaan Bangladesh. Kita akan hantar semula pelarian Rohingya ini ke Cox's Bazar atau pulau Bashan Char di selatan negara itu," ujar Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau mengulas mengenai kes 269 pelarian Rohingya yang menceroboh perairan Langkawi kelmarin hingga mencetuskan kegusaran orang ramai berhubung tahap keselamatan dan kawalan negara.

Selain itu, katanya, Kementerian Luar juga diminta mengadakan perbincangan bersama Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) untuk menghantar pelarian terbabit ke negara ketiga.

"Banyak negara yang mempersoalkan bagaimana Malaysia menguruskan Rohingya ini . Ada negara kata kita tidak berperikemanusiaan.

"Jadi, kita minta mereka menerima pelarian Rohingya daripada Malaysia kerana mereka juga adalah ahli Konvensyen Mengenai Pelarian 1951.

"Kita tegas kali ni tidak boleh terima lagi dan akan bincang untuk hantar balik Rohingya atau kalau negara ketiga dapat terima pelarian Rohingya ini. Kita harap dapat selesaikan," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

LAPORAN Harian Metro
LAPORAN Harian Metro

Ditanya mengenai tindakan penguatkuasa yang membenarkan 269 pelarian Rohingya terbabit masuk ke Langkawi, Ismail Sabri berkata, ia dilakukan adalah atas dasar kemanusian sebelum urusan penghantaran pulang dilakukan.

Beliau berkata, ketika pelarian terbabit memasuki perairan negara ada antaranya bertindak terjun ke laut, selain bot dibocorkan dan enjin dirosakkan sebagai modus operandi mereka untuk memasuki negara ini.

"Kita tidak mempunyai banyak pilihan sama ada kita nak membiarkan mereka mati di laut atau selamatkan atas dasar kemanusiaan.

"Saya percaya ramai menganggap mengapa kita terlalu baik tetapi atas dasar kemanusiaan tak kan kita nak biarkan anak kecil dan orang tua mati di dalam laut di depan mata tanpa kita selamatkan mereka," katanya.

Berita berkaitan

'Sengaja bocorkan bot, rosakkan enjin'

Bukan 50 tapi 269 etnik Rohingya mendarat di Langkawi

50 lagi etnik Rohingya mendarat di Langkawi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 3:16 PM