Bireuen, Indonesia: Tiga bot dipenuhi lebih 500 pelarian Rohingya mendarat di wilayah paling barat Indonesia pada Ahad, kata agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ia adalah satu daripada ketibaan terbesar sejak Myanmar melancarkan tindakan keras tentera ke atas kumpulan minoriti itu pada 2017.
Rohingya yang kebanyakannya beragama Islam dianiaya dengan teruk di Myanmar, mengakibatkan ribuan etnik itu mempertaruhkan nyawa mereka setiap tahun dalam perjalanan laut yang panjang dan 'mahal' untuk cuba sampai ke Malaysia atau Indonesia.
Rakan sekutu agensi perlindungan pelarian PBB, Faisal Rahman memberitahu AFP, satu bot tiba di daerah Bireuen di wilayah Aceh dengan 256 orang di dalamnya.
Manakala, sekurang-kurangnya 239 yang lain tiba di wilayah Pidie, Aceh dan sebuah bot yang lebih kecil membawa 36 orang tiba di Aceh Timur.
"Mereka ditemukan mendarat di beberapa tempat. Daripada 256 yang menaiki bot menuju Bireuen itu, 110 adalah wanita dan 60 kanak-kanak," kata Rahman pada Ahad.
Rahman berkata, ia adalah bot sama yang sudah ditolak kehadirannya oleh penduduk tempatan pada Khamis lalu, menyebabkan ia terkandas di pantai selama beberapa hari.
"Ia disahkan kerana ramai yang dikenal pasti oleh pegawai keselamatan semasa mendarat," katanya.
Ketibaan terbaru itu bermakna lebih 800 pelarian mendarat di wilayah Aceh minggu ini sahaja, selepas 196 orang tiba pada Selasa dan 147 orang pada Rabu, menurut pegawai tempatan.
Seorang wartawan AFP melihat bot Rohingya berlabuh di pantai di Bireuen, selepas pelarian itu turun.
Pelarian itu ditahan di pusat perlindungan sementara sementara menunggu keputusan daripada pihak berkuasa mengenai nasib mereka, dan kebanyakannya dalam keadaan sihat.
Setiausaha wilayah Bireuen, Ibrahim Ahmad memberitahu pemberita pada Ahad, sebarang keputusan akan dibuat oleh 'institusi lain'.
Di Pidie, jurucakap komuniti nelayan tempatan Marfian, mengesahkan kepada AFP bahawa bot yang memuatkan hampir 250 pelarian mendarat.
Lebih 2,000 Rohingya dipercayai mencuba perjalanan berisiko ke negara Asia Tenggara lain pada 2022, menurut Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).
Agensi itu menganggarkan hampir 200 pelarian etnik Rohingya mati atau hilang tahun lalu ketika melakukan perjalanan laut.