KEMALANGAN di Kilometer 50 Jalan Kuala Terengganu - Kota Bharu, malam tadi mengorbankan seorang mekanik, Mohd Afiq Luqman Mahmad Azan, 22, manakala seorang lagi parah. FOTO Ihsan Pembaca
KEMALANGAN di Kilometer 50 Jalan Kuala Terengganu - Kota Bharu, malam tadi mengorbankan seorang mekanik, Mohd Afiq Luqman Mahmad Azan, 22, manakala seorang lagi parah. FOTO Ihsan Pembaca
Hanneeyzah Bariah Baharin


MEKANIK maut, manakala seorang lagi parah selepas motosikal ditunggangi mereka terbabit kemalangan di Kilometer 50 Jalan Kuala Terengganu - Kota Bharu di Permaisuri, malam tadi.

Dalam kejadian membabitkan tiga motosikal kira-kira 9 malam berhampiran Sekolah Kebangsaan Batu 29 itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Afiq Luqman Mahmad Azan, 22, beralamat dari Jalan Taman Bersekutu, Dungun.

Ketua Polis daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 125ZR meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Beliau berkata, seorang lagi mangsa iaitu penunggang motosikal Yamaha 135LC, Md Salman Abdullah, 18, dari Kampung Langkap, Setiu, yang parah dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan dalam keadaan koma.

Katanya, penunggang dan pembonceng motosikal Honda Wave masing-masing berusia 20 dan 21 tahun dari Kuala Terengganu yang turut terbabit dalam kemalangan itu hanya mengalami cedera dan dihantar ke Hospital Setiu untuk menerima rawatan.

Zulkifli berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggangi Mohd Afiq Luqman dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kota Bharu terlanggar motosikal ditunggangi Md Salman yang melawan arus di bahu jalan lorong menghala arah Kuala Terengganu.

“Akibat perlanggaran itu, motosikal ditunggangi Mohd Afiq Luqman terseret ke lorong bertentangan sebelum dilanggar motosikal Honda Wave yang datang dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Terengganu.

“Ketika kejadian keadaan jalan basah kerana hujan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan sehingga menyebabkan kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 9:27 AM