ADLY (tengah) ketika ditemui media selepas perasmian Program Kejuaraan Petronas AAM Malaysia Cub Prix di Bandar Jasin Bestari, Jasin. -FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
ADLY (tengah) ketika ditemui media selepas perasmian Program Kejuaraan Petronas AAM Malaysia Cub Prix di Bandar Jasin Bestari, Jasin. -FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Nurul Fhatihah Zakinan


SITUASI paras air di tiga empangan di Melaka belum mencapai tahap pelaksanaan catuan bekalan walaupun satu daripadanya kini susut hampir 50 peratus.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, paras air di empangan Durian Tunggal kini tinggal 57 peratus seperti didedahkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Seri Negeri minggu lalu, namun masih di bawah paras berjaga-jaga berikutan mendapat bekalan dari empangan Jus.

“Empangan Durian Tunggal dikawal oleh empangan Jus yang berada pada paras 80 peratus ketika ini, manakala empangan Jus menerima bekalan dari Johor.

“Jika empangan Durian Tunggal di bawah paras 50 peratus, kita masih boleh dapatkan bekalan yang dipam dari empangan Jus. Paras empangan Durian Tunggal paling selamat apabila kita pastikan pada 60 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pelepasan Program Kejuaraan Petronas AAM Malaysia Cub Prix 2019 di Bandar Jasin Bestari, Jasin, petang ini.

Berdasarkan laporan Badan Kawal Selia Air (BKSA) negeri setakat jam 2.30 petang ini, paras air di ketiga-tiga empangan Durian Tunggal (53.4 peratus), Jus (77.5 peratus) dan Asahan (70.4 peratus).

Justeru, Adly berkata, tiada keperluan untuk kerajaan negeri melaksanakan catuan bekalan air, namun mengharapkan hujan selain penduduk perlu bersedia berdepan cuaca kering hingga April dengan berjimat menggunakan air.

Beliau berkata, purata penggunaan bekalan air dari tiga empangan berkenaan kepada penduduk di Melaka adalah satu peratus sehari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 7:28 PM