Siti Aisyah menunjukkan jari telunjuk kirinya yang putus akibat terkena mesin pada 2016. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Siti Aisyah menunjukkan jari telunjuk kirinya yang putus akibat terkena mesin pada 2016. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


GADIS kidal yang kehilangan jari telunjuk kiri di tempat kerja tiga tahun lalu terharu apabila menerima pampasan RM20,472 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) hari ini.

Siti Aisyah Ahmad, 28, dari Kampung Huma, Kubur Panjang, Pokok Sena, Alor Setar berkata, ketika kejadian dia bekerja di kilang papan dan secara tidak sengaja jarinya termasuk dalam mesin menyebabkan separuh jari telunjuk kirinya hancur.

Katanya, dia kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan doktor terpaksa membuang bahagian jari yang hancur.

“Kejadian itu berlaku begitu pantas, mujurlah saya berjaya menarik tangan saya dari terus dikisar mesin berkenaan selepas kejadian saya terus pengsan dan dihantar ke hospital.

“Saya terpaksa bercuti tiga bulan untuk kembali pulih daripada kecederaan ini, namun saya ingin mengucapkan terima kasih kepada PERKESO yang turut memberi faedah cuti sakit RM600 sebulan,” katanya ditemui pada Majlis Hari Terbuka PERKESO di Perbadanan Kraftangan, Jalan Hutan Kampung hari ini.

Pada majlis itu, Siti Aishah menerima baucar bayaran pampasan PERKESO daripada Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, kesan kejadian itu, dia sukar untuk melakukan kerja memegang barang namun masih bersyukur dapat meneruskan kerja di kilang berkenaan.

Sementara itu, Mahfuz berkata, pihaknya merancang menjalinkan kerjasama dengan Perbadanan Kraftangan di seluruh negara bagi memberi peluang kepada ibu tunggal menjalani latihan menjahit di bengkel agensi terbabit.

“Kementerian akan mengeluarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) bagi mengiktiraf kursus berkenaan seterusnya memberi peluang kepada ibu tunggal untuk menjana pendapatan sendiri menerusi kemahiran yang diperolehi.

“Di samping itu, kita akan turut bekerjasama dengan pemain industri kecil berkaitan supaya mereka dapat mengambil upah menjahit atau memasarkan dan menjual produk mereka di sana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 3:27 PM