Ikan yu yang ditangkap nelayan dijual secara terbuka di utara Sarawak. FOTO Kandau Sidi
Ikan yu yang ditangkap nelayan dijual secara terbuka di utara Sarawak. FOTO Kandau Sidi
Kandau Sidi


AKTIVITI penangkapan ikan yu yang tidak terkawal di Sarawak sejak kebelakangan ini dikhuatiri boleh mengancam populasi hidupan akuatik itu.

Tinjauan mendapati pelbagai spesis ikan yu masih dijual secara terbuka di negeri itu dengan kebanyakannya untuk dijadikan hidangan eksotik.

Ia secara tidak langsung mewujudkan permintaan tinggi terutama terhadap siripnya sekali gus mendorong nelayan tempatan meningkatkan pemburuan ikan berkenaan.

Nelayan berusia 56 tahun yang enggan namanya disiarkan berkata, spesis ikan berkenaan cukup ‘diminati’ dalam kalangan pemilik restoran untuk dijadikan hidangan eksotik.

“Ikan yu ditangkap menggunakan pukat, namun sejak kebelakangan ini, jumlahnya semakin berkurangan seolah-olah memperlihatkan tanda kepupusan.

“Susah memperoleh tangkapan ikan yu bersaiz besar sekarang dan kebanyakannya yang bersaiz kecil,” katanya.

Ketika musim bubuk atau udang halus di Perairan Sarawak ketika ini, memang sukar untuk melihat kehadiran ikan yu bersaiz besar termasuk yu paus.

“Bila tiba musim bubuk sebelum ini, mudah kita lihat kehadirannya kerana udang halus itu menjadi sumber makanannya. Di Terumbu Karang Sibuti juga, jarang kita lihat kehadiran yu paus sekarang.

“Hanya yu bersaiz kecil yang kerap terjerat pada pukat nelayan tempatan di utara negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Menteri Muda Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Sarawak , Datuk Lee Kim Shin ketika mengulas isu berkenaan berharap penangkapan ikan yu secara tidak terkawal dihentikan.

Beliau berkata, ikan yu khususnya yu paus berpotensi menjadi antara tarikan pelancong untuk datang ke Sarawak.

Mengikut Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Yang Terancam) 1999 ikan yu turut dikuatkuasakan bagi spesies disenaraikan dalam kategori terancam di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 1:07 PM