ZAIZURI menunjukkan sebahagian ikan ebek dipancing di benteng pemecah ombak Seberang Takir, Kuala Nerus. (Gambar kanan) Zaizuri menunjukkan ikan siakap putih seberat 19kg pernah dipancing di lokasi sama. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
ZAIZURI menunjukkan sebahagian ikan ebek dipancing di benteng pemecah ombak Seberang Takir, Kuala Nerus. (Gambar kanan) Zaizuri menunjukkan ikan siakap putih seberat 19kg pernah dipancing di lokasi sama. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
Ahmad Rabiul Zulkifli


PEMBINAAN benteng pemecah ombak Seberang Takir, Kuala Nerus bukan sahaja menyelesaikan masalah hakisan pantai, malah memberi rezeki kepada kaki pancing di Terengganu.

Benteng pemecah ombak dibina sejak 2015 itu menjadi lubuk utama pelbagai jenis ikan buruan pemancing antaranya ikan ebek, siakap putih dan merah; haruan tasik, gerepoh, pari dan gerong belang.

Pemancing, Zaizuri Zahid, 42, dari Kampung Panji Alam, Kuala Terengganu, berkata dia mencatat rekod peribadi tersendiri tahun ini apabila menaikkan lapan ikan ebek seberat 1.5 kilogram (kg) hingga 2.5kg, baru-baru ini.

“Benteng pemecah ombak ini boleh diibaratkan seperti kawasan pelantar minyak kerana menghimpunkan pelbagai jenis ikan eksotik.

“Sejak saya memancing di sini, lebih 200 ikan berjaya dinaikkan antaranya ebek, siakap, haruan tasik, pari, kerapu dan paling besar siakap putih seberat 19kg serta ikan gerong belang seberat 6.8kg.

“Saya tak perlu ke laut untuk melepaskan gian melayan sentapan ikan eksotik kerana memancing di benteng itu sudah memadai,” katanya ketika ditemui Harian Metro, hari ini.

Zaizuri berkata, aktiviti memancing sudah menjadi kegemarannya sejak berusia belasan tahun seterusnya pernah menjelajah ke serata pantai dan tempat di seluruh negara untuk memancing.

“Sebelum ini saya gemar ke benteng pemecah ombak Pantai Rhu Renggeh, Marang kerana di situ banyak ikan.

“Tetapi kawasan itu kini tidak seperti dulu kerana ramai nelayan pantai meletakkan pukat menyebabkan ikan berkurangan dan susah nak makan umpan.

“Sekarang benteng pemecah ombak Seberang Takir saja jadi ‘port’ memancing saya. Biasanya saya mula memancing dari 7 pagi hingga 12 tengah hari,” katanya.

Menurutnya, memandangkan sering membawa pulang ikan bersaiz besar dan mahal, ahli keluarganya termasuk keluarga mentua menyokong minatnya itu.

“Bukan sekadar hobi, tetapi ia memberi pulangan lumayan malah ahli keluarga tidak perlu lagi ke pasar untuk membeli ikan.

“Boleh dikatakan sepanjang musim ikan ebek bermula pertengahan Februari lalu, saya tidak pernah pulang dengan tangan kosong.

“Paling kurang dapat satu atau dua ekor ikan ebek dengan modal umpan udang hidup berharga RM10 hingga RM20 untuk sehari,” katanya yang pernah menjadi johan Pertandingan Memancing Terbuka di Pantai Teluk Lipat, Dungun pada 2012 dan membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000.

Beliau berkata, kemasukan pelbagai jenis ikan ke kawasan benteng pemecah ombak itu berikutan musim udang baring yang bermula awal Februari.

Menurutnya, ikan itu memenuhi kawasan benteng kerana mengejar sumber makanannya iaitu udang baring.

Isterinya, Marwani Mohd Nor, 36, berkata, dia sentiasa menyokong hobi dan minat suaminya itu kerana ia menguntungkan.

“Paling penting kami sekeluarga tidak perlu lagi membeli ikan di pasar, cukup dengan ikan dipancing suami.

“Ikan ebek, gerong atau siakap bukan murah, semuanya berharga RM20 ke atas sekilogram, jadi ia memang berbaloi malah biasanya kami dapat mengagihkan ikan dipancing kepada keluarga terdekat sebab peti ais di rumah sudah penuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 11:46 PM