Ikan yu paus atau Rhincodon typus seberat 1.2 tan yang dijumpai terperangkap di dalam pukat tunda milik seorang nelayan laut di perairan Kuala Baram. FOTO Ihsan pembaca
Ikan yu paus atau Rhincodon typus seberat 1.2 tan yang dijumpai terperangkap di dalam pukat tunda milik seorang nelayan laut di perairan Kuala Baram. FOTO Ihsan pembaca
Kandau Sidi

NELAYAN di Sarawak perlu mengelak daripada membunuh yu paus kerana haiwan itu berpotensi menjadi produk pelancongan baharu seperti di Filipina dan Indonesia.

Kehadiran ikan yu paus yang ditemui terperangkap dalam pukat tunda milik seorang nelayan laut di Perairan Kuala Baram, Miri baru-baru ini adalah disebabkan ia tertarik dengan kemunculan udang halus atau ‘bubuk’.

Bubuk adalah antara makanan utama ikan yu paus, sekali gus menyebabkan spesies itu berlegar-legar di kawasan perairan terbabit.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin berkata, kehadiran yu paus boleh mengundang tarikan kepada Miri, terutama peminat aktiviti selam scuba.

“Justeru, kalau boleh elakkan daripada mengancam habitat yu paus kerana ia semakin pupus dan jarang dilihat di perairan seluruh dunia.

“Keunikan ikan itu mampu menyebabkan lebih ramai pelancong datang ke Sarawak, khususnya Miri yang berusaha menjadi destinasi popular di utara negeri ini,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Isnin lalu, seekor yu raksasa atau nama saintifiknya, Rhincodon typus terperangkap dalam pukat nelayan tempatan di Kuala Baram.

Ia hanya berjaya didaratkan sekitar 12 tengah hari oleh pemilik bot dan krewnya selepas berlabuh di sebuah jeti persendirian di Piasau.

Sejurus didaratkan, nelayan terbabit kemudian menghubungi Jabatan Perikanan Miri dan Sarawak Forestry Corporation (SFC) untuk memaklumkan tangkapan spesis ikan tersebut yang jarang-jarang ditemui.

Sementara itu, sumber memberitahu NSTP, yu paus yang dianggarkan seberat 1.2 tan itu mati

sejurus didaratkan.

“Kita percaya ia tangkapan terbesar yang pernah direkodkan di Perairan Miri setakat ini,” katanya.

Bangkai ikan paus itu kemudian ditanam oleh pihak berkuasa di satu tempat yang tidak dimaklumkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 6:33 PM