IKAN yu ditangkap nelayan tempatan dijual secara terbuka di utara negeri ini. FOTO Kandau Sidi.
IKAN yu ditangkap nelayan tempatan dijual secara terbuka di utara negeri ini. FOTO Kandau Sidi.
Kandau Sidi


LAPAN spesies ikan yu disenaraikan sebagai terancam di Malaysia termasuk yu paus yang ditangkap nelayan tempatan di perairan Sarawak, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Perikanan Sarawak, Belayong Nyuk berkata, ikan yu lain dan dikatogerikan terancam adalah spesies yu gergaji.

Tujuh yu itu dikenali dengan nama saintifiknya ialah Anoxypristis Cuspidata, Pristis Clavata, Pristis Microdon, Pristis Pectinata, Pristis Perotteti, Pristis Pristis dan Pristis Zijsron.

“Selain ikan yu berkenaan, turut tersenarai sebagai spesies terancam di negara ini adalah dugong, enam jenis ikan paus dan 13 jenis ikan lumba-lumba,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, kajian terperinci dilakukan terhadap semua ikan daripada spesies terancam berkenaan, sebelum disenaraikan di bawah Pelan Tindakan Kebangsaan Malaysia yang dikeluarkan kerajaan.

“Mengikut pelan sama, semua spesies ikan berkenaan tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Perikanan ( Pengawalan Spesies Ikan Yang Terancam) 1999,” katanya.

Belayong berkata, selain melaksanakan pelan tindakan pengurusan dan pengawalan ikan yu terancam, jabatan itu turut melaksanakan kempen kesedaran secara berterusan seperti mendidik nelayan menggunakan kaedah penangkapan ikan secara mapan.

“Antara kempen popular dan masih diteruskan hingga kini ialah Kempen ‘Tak Nak Sirip Ikan Yu’ sebagai langkah menyelamatkan ikan yu dibunuh hanya semata-mata mahu mendapatkan siripnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 12:37 PM