VIDEO yang ditular menunjukkan seekor ikan Yu Paus yang terperangkap pada pukat bot bilis dan cuba diselamatkan nelayan di perairan Kedah. FOTO ihsan Pembaca
VIDEO yang ditular menunjukkan seekor ikan Yu Paus yang terperangkap pada pukat bot bilis dan cuba diselamatkan nelayan di perairan Kedah. FOTO ihsan Pembaca
Noorazura Abdul Rahman


NELAYAN di perairan Kedah dinasihat supaya tidak mengganggu ikan Yu Paus yang mencari makanan di kawasan berkenaan.

Pegawai Penyelidik Perikanan (Ketua Pasukan Penyelamat Kedamparan Spesies Marin Terancam) Institut Penyelidikan Perikanan Penyu dan Hidupan Marin Terancang (FRI) Rantau Abang, Mohd Tamimi Ali Ahmad berkata, tindakan itu perlu kerana ia adalah spesis ikan terancam.

Katanya, berdasarkan data dikumpul pihaknya setiap tahun, kehadiran spesis itu di perairan Kedah adalah disebabkan kawasan berkenaan kaya dengan sumber makanannya seperti bilis, anak ikan pelagik, udang baring dan plankton.

Mohd Tamimi berkata, tindakan seorang nelayan yang berusaha melepaskan Yu Paus yang terperangkap pada pukat satu tindakan yang patut dipuji.

"Ini menjadi bukti bahawa usaha Jabatan Perikanan Malaysia dalam mendidik nelayan mengasihi dan mencintai spesies marin yang terancam serta hampir pupus," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengikut Akta Perikanan 1985 terdapat larangan dan kesalahan bagi mereka yang sengaja melanggar Peraturan-peraturan Perikanan (pengawalan spesis ikan terancam) 1999 (pindaan 2019) iaitu tiada seorang pun boleh memancing, mengganggu, mengusik, menangkap, membunuh, mengambil, memiliki, menjual, membeli, mengeksport atau mengangkut mana-mana bahagianya kecuali dengan kebenaran bertulis Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Jika sabit kesalahan individu boleh di denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 2:09 PM