Air Sungai Kelantan di Kelar, Pasir Mas yang dirakam 23 Februari lalu. FOTO Syamsi Suhaimi
Air Sungai Kelantan di Kelar, Pasir Mas yang dirakam 23 Februari lalu. FOTO Syamsi Suhaimi
Muhamaad Razis Ismail


EMPAT sungai di lapan kawasan di Kelantan merekodkan penurunan di bawah paras normal berikutan musim kemarau sejak awal bulan ini.

Portal Jabatan Saliran dan Pengairan (JPS) menunjukkan Sungai Galas, Sungai Kelantan, Sungai Golok dan Sungai Pergau mencatatkan penurunan perlahan namun masih terkawal.

Antara kawasan yang menunjukkan penurunan adalah Sungai Galas di Dabong, Kuala Krai berada di paras 26.76 meter (m) berbanding bacaaan normal 28 m, Sungai Kelantan di Jeti Kastam, Kota Bharu merekodkan bacaan 0.62 meter dan Sungai Golok di Rantau Panjang (3.77 m).

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Kamal Mustapha mengesahkan berlaku penurunan paras di beberapa sungai di negeri ini.

“Hasil pemantauan kita dapati berlaku penurunan di sungai di negeri ini namun ia masih terkawal.

“JPS akan terus memantau paras air sungai di negeri ini,” katanya ketika dihubungi di sini.

Mengulas lanjut,paras empangan Bukit Kwong, di Rantau Panjang masih berada di bawah paras normal iaitu 14.88 m berbanding bacaan normal 16.76 m.

“Bacaan minimum empangan ini adalah 12.20 m dan maksimum 17.72 m. Setakat ini keadaan masih lagi terkawal,” katanya.

Akhbar melaporkan, Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataannya kelmarin memaklumkan negara kini berada pada penghujung Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir pada hujung bulan depan.

Menurutnya, dalam tempoh itu taburan hujan akan berkurangan di seluruh negara kecuali di barat Sarawak dan ia dijangka beransur reda bermula hujung April 2019 berikutan bermulanya fasa peralihan monsun yang membawa lebih banyak taburan hujan ke seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 4:19 PM