PENDUDUK meninjau paras air Sungai Golok di Pangkalan Gergaji.
PENDUDUK meninjau paras air Sungai Golok di Pangkalan Gergaji.
Mohd Zulkifli Zainuddin

Kota Bharu: Paras air Sungai Golok di Rantau Panjang masih berada di paras berjaga-jaga, namun sudah menunjukkan trend menurun berikutan cuaca semakin baik semalam.

Berdasarkan portal publicinfobanjir.water.gov.my hingga jam 4 petang semalam, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang menurun kepada bacaan 7.67 meter (m) melebihi paras berjaga-jaga 7 m berbanding 7.68 m semalam.

Ia berikutan stesen tadahan hujan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Rantau Panjang tidak merekodkan taburan hujan di daerah terbabit sejak tengah malam kelmarin.

Hanya stesen Batu 13, Jeli merekodkan tadahan hujan renyai paling banyak membabitkan tujuh milimeter (mm), diikuti stesen Gunung Gagau, Gua Musang (5 mm) serta masing-masing 1 mm di Kampung Jenob, Tanah Merah serta Empangan Bukit Kwong, Pasir Mas.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Alui Bahari dalam kenyataan semalam berkata, keadaan cuaca di Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak dijangka bertambah baik.

“Hujan lebat berterusan dijangka tidak berlaku dalam tempoh terdekat. Amaran cuaca yang dikeluarkan bermula 5 pagi pada 3 November lalu dengan ini ditamatkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 10:52 AM