Rizanizam Abdul Hamid


“SAYA bukan ah long, tapi kad ini boleh tolong,” kata calon Bebas Kuan Chee Heng kepada orang ramai yang ditemui sambil menghulurkan bahan kempen berupa sekeping kad nama.

Pada kad itu, tertera nombor telefonnya 016-3388308 yang meminta rakyat menelefonnya sebagai calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih sekiranya memerlukan bantuan.

Menurut aktivis masyarakat yang lebih dikenali dengan panggilan Uncle Kentang itu, beliau memilih kad sebagai bahan kempen kerana hanya perlu meletakkan nombor telefon, mudah dibawa dan disimpan mereka yang memerlukan.

“Saya tiada manifesto untuk dicetak pada bahan kempen kerana saya percaya bila orang dalam keadaan susah, mereka hanya perlukan nombor telefon untuk meminta bantuan dan kad saya itu mungkin ada di dalam dompet pada saat diperlukan.

“Lagipun hari ini, banyak manifesto tidak dapat ditunaikan dan saya yakin rakyat juga sudah muak mendengarnya,” katanya ketika ditemui media pada program tinjauan mesra di Klinik Kesihatan Beranang, hari ini.

Mengulas lanjut, Chee Heng yang terkenal dengan pelbagai produk khidmat masyarakat seperti ambulans 10 sen, van jenazah 10 sen, kereta 10 sen dan rumah sewa RM1 berkata, kerajaan diharap dapat melihat masalah kesesakan di klinik kesihatan yang memerlukan perhatian segera.

CHEE Heng memberikan kad kempennya yang mirip kad pinjaman ah long kepada orang ramai di Klinik Kesihatan Beranang, Hulu Langat, hari ini. FOTO Rizanizam Abdul Hamid
CHEE Heng memberikan kad kempennya yang mirip kad pinjaman ah long kepada orang ramai di Klinik Kesihatan Beranang, Hulu Langat, hari ini. FOTO Rizanizam Abdul Hamid

“Saya harap mereka dapat turun padang, melihat sendiri keperluan mendesak untuk menaik taraf Klinik Kesihatan Beranang ini.

“Kalau hendak tunggu sebuah hospital dibina, ia tentu sekali mengambil masa dua atau tiga tahun untuk siap sedangkan warga emas dan pesakit semakin ramai,” katanya.

Ditanya bagaimanakah penerimaan rakyat terhadap kempennya yang baru bermula dua hari lalu, Chee Heng juga Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat Malaysia berkata, waktu bertemu rakyat bukan hanya ketika musim berkempen.

“Saya sudah lama berdamping dengan rakyat susah, jadi saya tidak perlu terikat pada waktu kempen ini saja. Waktu untuk berkempen sebenarnya adalah selepas pilihan raya dan bukannya secara bermusim saja.

“Cuma ketika waktu berkempen ini sebenarnya saya sedih kerana sebagai calon, banyak amanah penyumbang dan bantuan peribadi tidak dapat saya hulurkan kepada rakyat susah kerana terikat dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya.

“Saya harap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat memberi kelonggaran kepada calon bertanding untuk membantu rakyat atas dasar kemanusiaan. Mungkin calon boleh isi borang tertentu yang ditetapkan SPR mengikut kes supaya bantuan itu tidak dianggap rasuah untuk memancing undi,” katanya.

PRK DUN Semenyih 2 Mac ini akan menyaksikan Chee Heng yang menggunakan lambang telefon bersaing dengan calon Pakatan Harapan (PH) Muhammad Aiman Zainali, Zakaria Hanafi (BN) dan Nik Aziz Afiq Abdul (PSM).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 3:52 PM