Rizanizam Abdul Hamid


CALON Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali tidak akan leka untuk meneruskan kempennya sekalipun ada yang melihat tugasnya semakin mudah susulan kemelut terbaru dihadapi Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Menurutnya, beliau tidak kisah mengenai masalah dihadapi dua parti itu dan kempen meraih undi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih akan giat diteruskan seperti dirancang.

“Kalau mereka (PAS) dah tak sokong, itu jadi kelebihan kepada kita (PH) tetapi itu tidak bermakna kita akan leka dan memandang rendah kemampuan BN.

“Saya akan terus berkempen seperti biasa dan tetap menganggap calon BN sebagai pesaing yang kuat untuk menang PRK kali ini,” katanya ketika ditemui media di ketika melakukan tinjauan mesra di Pasar Semenyih di Hulu Langat, hari ini.

Beliau mengulas pendedahan Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang berkata PAS tidak akan menyokong UMNO dalam PRK Semenyih.

Perdana Menteri berkata, perkara itu diakui Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bertemu dengannya di Yayasan Al-Bukhary di Kuala Lumpur.

“Dalam pertemuan itu, kami bincang soal politik. Banyak soal politik. Mengenai pihak parti PAS dalam pilihan raya kali ini, dia tidak akan menyokong pembangkang (UMNO).

“PAS tidak akan menyokong UMNO dalam PRK kali ini. Tetapi ada juga pengakuan secara bertulis dan ditandatangani,” katanya dipetik daripada laporan media semalam.

PRK DUN Semenyih 2 Mac ini akan menyaksikan saingan empat penjuru membabitkan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul, Muhammad Aiman; calon BN, Zakaria Hanafi serta calon Bebas, Kuan Chee Heng.

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada PH pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Bakhtiar mengalahkan wakil rakyat dua penggal di kawasan itu, Datuk Johan Abd Aziz daripada BN dengan 23,428 undi pada PRU-14.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 12:15 PM
    MUHAMMAD Aiman membuat tinjauan mesra bersama penduduk setempat di Pasar Pagi Beranang. FOTO Asyraf Hamzah
    MUHAMMAD Aiman membuat tinjauan mesra bersama penduduk setempat di Pasar Pagi Beranang. FOTO Asyraf Hamzah