GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Recqueal Raimi


LELAKI ditahan manakala dua rakan subahatnya melarikan diri selepas disyaki mencuri kabel elektrik di kawasan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), di Tuaran, semalam.

Kejadian itu disedari oleh pekerja projek elektrik di kawasan berkenaan yang kemudiannya memaklumkan kejadian kepada penyelia projek mereka, pada 1.30 tengah hari.

Susulan itu, seorang daripada suspek ditahan oleh pekerja di tapak projek berkenaan, manakala dua lagi suspek melarikan diri meninggalkan rakannya.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, sebaik menerima panggilan daripada penyelia di tapak projek KKIP itu, sepasukan polis bergegas ke lokasi dan menahan seorang lelaki disyaki terbabit kes curi kabel elektrik.

“Pemeriksaan lanjut, polis turut menemui sejumlah kabel elektrik yang siap dipasang, sudah dipotong disyaki dilakukan oleh suspek terbabit.

“Kabel elektrik yang dipotong itu belum berfungsi dan dianggarkan kerugian hampir RM10,000,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, suspek berusia 19 tahun kemudian di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran untuk siasatan lanjut.

“Siasatan akan diteruskan termasuk mengesan dua lagi suspek yang dipercayai melarikan diri.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 10:41 AM