POLIS menjalankan pemeriksaan di lokasi mangsa ditemui maut akibat dipukul menggunakan objek keras. FOTO ihsan polis
POLIS menjalankan pemeriksaan di lokasi mangsa ditemui maut akibat dipukul menggunakan objek keras. FOTO ihsan polis
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Seorang lelaki maut dipercayai dipukul menggunakan objek keras oleh lelaki yang disyaki sedang mencuri kabel elektrik di kawasan lapang berhadapan sebuah pejabat terbiar di Kingfisher, di sini, tengah malam tadi.

Mangsa berusia 50 tahun ditemui dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah oleh rakannya kira-kira jam 12 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, mangsa keluar rumah pada 10.30 malam untuk memeriksa fius selepas bekalan elektrik di rumah kongsinya terputus.

Katanya, sejam selepas itu, rakan mangsa bersama anaknya turut ke lokasi kejadian berikutan masalah bekalan elektrik yang terputus.

"Ketika sedang membuat pemeriksaan, rakan mangsa terdengar bunyi salakan anjing lalu memeriksa keadaan sekeliling sebelum melihat kelibat orang dalam keadaan tertiarap dengan kesan tompokan darah.

"Lelaki terbabit terus menghubungi rakannya (si mati) yang bekerja di lokasi berkenaan dan terkejut apabila bunyi deringan telefon bimbit itu bersebelahan dengan kelibat lelaki yang tertiarap.

"Menyedari itu rakannya, lalu lelaki terbabit bertindak menghubungi polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, siasatan lanjut di lokasi dengan bantuan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah mendapati mangsa mengalami kecederaan di mata dan kesan remuk pada dahi disyaki dipukul menggunakan objek keras.

"Polis turut menemui sebatang kayu beruti disyaki digunakan suspek untuk menyerang mangsa.

"Siasatan lanjut di dalam bilik fius tidak jauh dari lokasi mayat ditemui mendapati terdapat kabel elektrik dipotong disyaki dicuri suspek yang tidak dikenali," katanya.

Menurutnya, polis percaya suspek yang sedang mencuri kabel di bilik fius menyerang mangsa menggunakan kayu beruti sebelum melarikan diri.

"Bagaimanapun siasatan masih diteruskan dan usaha mengenalpasti suspek sedang giat dijalankan. Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini diminta supaya menghubungi polis untuk membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 10:59 AM