Muhammad Apendy Issahak

IBU dan anak perempuannya didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini atas tuduhan membuat laporan serta memberi keterangan palsu kepada polis, kononnya diragut dua lelaki dikenali.

Tertuduh S Pavithra, yang genap 18 tahun hari ini, dituduh membuat laporan polis palsu di Balai Polis Bercham pada 3.53 petang, 19 Januari lalu dengan memberi keterangan mendakwa dirompak dengan kaedah ragut.

Remaja itu mendakwa diragut dua lelaki dikenali iaitu C Kanesan, 52, dan R Nithyanand, 39, hingga menyebabkan kedua-dua lelaki berkenaan ditahan polis dan direman.

Ibunya, S Mahalakshmy, 41, pula didakwa memberi keterangan palsu di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada 7.24 malam, hari sama kononnya menjadi saksi anaknya diragut.

Dua beranak itu yang kedua-duanya bekerja sebagai pembantu restoran bagaimanapun, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nurul Hafizah Mohammad Pauzi dan minta dibicarakan.

Mereka didakwa mengikut mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda tidak lebih RM2,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar manakala dua beranak itu diwakili peguam Robert S Gnanarajan selain peguam pemerhati, B P Balakrishna turut mengikuti pendakwaan bagi dua lelaki yang dituduh meragut.

Terdahulu, Nurul Qistini mencadangkan jaminan RM5,000 kepada setiap tertuduh kerana dua beranak itu sepatutnya hadir ke mahkamah pada 8 Februari lalu untuk pertuduhan, namun gagal hingga waran tangkap dikeluarkan.

Robert merayu diberi jaminan yang ringan mengambil kira anak guamnya baru habis sekolah dan masih muda dengan pendapatan RM25 sehari, manakala ibunya pula bergaji RM35 sehari.

Mahkamah kemudian membenarkan dua beranak itu dijamin masing-masing RM3,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula 8 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 12:40 PM