SEORANG guru menyambut murid Orang Asli di pintu pagar masuk SK Tohoi sambil menghulurkan coklat. FOTO Ramli Ibrahim
SEORANG guru menyambut murid Orang Asli di pintu pagar masuk SK Tohoi sambil menghulurkan coklat. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


GURU Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi dekat Gua Musang terpaksa mengumpan coklat bagi menarik murid Orang Asli hadir ke sekolah itu.

Pendekatan itu dilakukan kerana ada dalam kalangan murid sengaja tidak mahu ke sekolah walaupun tinggal berhampiran.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Tohoi, Eder Baharon berkata, selepas tragedi kehilangan tujuh murid Orang Asli sekolah itu lima tahun lalu, kehadiran merosot lebih daripada separuh.

Katanya, ini kerana sebahagian besar ibu bapa memboikot daripada menghantar anak ke sekolah tetapi sekarang mereka semakin pulih daripada trauma.

“Ini menyebabkan guru terpaksa menggunakan pelbagai kaedah untuk menarik semula murid Orang Asli hadir ke sekolah bagi mengelak berlaku keciciran.

“Antara pendekatan diambil mengumpan coklat setiap awal minggu persekolahan dibuka dan menyambut murid yang hadir di pintu pagar sekolah,” katanya.

Dalam kejadian 23 Ogos 2015, tujuh murid Orang Asli yang tinggal di asrama SK Tohoi dilaporkan lari dari asrama dipercayai takut dikenakan tindakan oleh guru kerana mandi di sungai tanpa kebenaran.

Selepas hampir 50 hari hilang, Norieen Yaakob, 10, dan Mirsudiar Aluj, 11, ditemui masih hidup dalam keadaan kelaparan di tebing sungai di hutan berkenaan.

Lima yang lagi terkorban iaitu Ika Ayel, 9, Sasa Sobrie, 8, Haikal Yaakob, 8, Linda Rosli, 8, dan Juvina David, 7, yang semuanya dari Kampung Gawin, Pos Gob dan Kampung Penad, Pos Simpor.

Bapa, Semat Agus, 48, berkata, dia sudah lupa kejadian itu dan masing-masing menghantar semula anak ke sekolah.

Dia berkata, bagi yang tinggal berhampiran dengan sekolah, ibu bapa menghantar dan mengambil anak setiap hari bagi mengawasi keselamatan.

“Begitu juga bagi anak Orang Asli yang dibenarkan tinggal di asrama terpaksa menjenguk setiap masa bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 3:05 PM