KANAK-KANAK Orang Asli tidak ke sekolah bermain di sekitar bangunan kelas prasekolah di Kampung Aring 5 yang terbiar.
KANAK-KANAK Orang Asli tidak ke sekolah bermain di sekitar bangunan kelas prasekolah di Kampung Aring 5 yang terbiar.
Ramli Ibrahim

Gua Musang: Hampir 100 anak Orang Asli di dua kampung Pos Lebir, tidak hadir pada hari pertama persekolahan semalam.

Ibu bapa Orang Asli yang tinggal di Kampung Kuala Koh dan Aring 5 tidak mahu menghantar anak mereka ke Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Linggi dan tinggal di asrama sekolah itu.

Penghulu Kampung Aring 5 Raina Anjang berkata, kedudukan SK Pasir Linggi dengan dua kampung itu sangat jauh dan kerana itu murid perlu tinggal di asrama.

“Bagaimanapun, ibu bapa tidak mahu membenarkan anak mereka tinggal di asrama kerana menganggap anak mereka tidak pandai mengurus diri sendiri.

“Walaupun Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menyediakan kenderaan untuk mengangkut murid ke sekolah seminggu sekali tetapi ibu bapa tetap tidak mahu membenarkan anak mereka tinggal di asrama,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, dia mengharapkan kerajaan dapat membina sekolah rendah di kampung itu bagi mengelakkan anak Orang Asli tercicir dalam pelajaran.

Seorang penduduk, Angah Badu, 51, berkata, masalah itu bukan saja membabitkan murid sekolah rendah tapi juga pelajar sekolah menengah.

Menurutnya, anak Orang Asli yang tinggal di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paloh hanya dibenarkan pulang ke rumah sebulan sekali.

Katanya, keadaan itu menyebabkan pelajar sekolah menengah Orang Asli tidak mahu ke sekolah sejak beberapa tahun lalu.

“Kita juga minta JAKOA supaya menyediakan guru untuk kelas prasekolah di kampung berkenaan bagi kemudahan pendidikan anak berusia enam tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 10:57 AM