Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Muhammad Zahari Othman (tiga berdiri dari kanan) bersama ibu bapa dan murid Orang Asli di Pos Simpor, Gua Musang. - Foto RAMLI IBRAHIM
Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Muhammad Zahari Othman (tiga berdiri dari kanan) bersama ibu bapa dan murid Orang Asli di Pos Simpor, Gua Musang. - Foto RAMLI IBRAHIM
BERNAMA

Gua Musang: Pejabat Pendidikan Daerah Gua Musang sedang berusaha memujuk 71 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi di sini, yang masih tidak hadir ke sekolah berkenaan.

Pegawai Pendidikan Daerah Gua Musang, Muhammad Zahari Othman berkata beberapa program lawatan ke lapan kampung masyarakat itu sedang diatur supaya ibu bapa murid terbabit mengambil berat kehadiran anak mereka ke sekolah.

"Pada perjumpaan kita dengan ibu bapa murid Orang Asli di Pos Simpor pagi ini, mereka menyatakan hasrat menghantar anak ke sekolah kerana khuatir mereka ketinggalan pelajaran," katanya selepas majlis perjumpaan dengan ibu bapa Orang Asli di Pos Simpor di sini, hari ini.

Muhammad Zahari berkata pihaknya menggunakan pelbagai kaedah untuk mengurangkan tekanan terhadap ibu bapa masyarakat itu yang masih trauma

dengan tragedi kehilangan tujuh murid Orang Asli SK Tohoi pada Ogos tahun lalu.

Beliau berkata setakat ini, murid yang hadir di SK Tohoi masih kekal 115 orang berbanding keseluruhan 189 murid.

Muhammad Zahari berkata, dua murid dari Pos Simpor telah berpindah ke SK Kuala Betis manakala seorang lagi ke sebuah sekolah di luar Kelantan.

Ogos lalu, tujuh murid SK Tohoi hilang selepas melarikan diri dari asrama kerana takut dikenakan hukuman oleh guru selepas mandi di sungai tanpa kebenaran.

Selepas hampir 50 hari hilang, dua daripada kanak-kanak itu iaitu Norieen Yaakob, 11, dan Miksudiar Aluj, 12, ditemui dalam keadaan kelaparan dan dehidrasi di tebing sungai dalam hutan.

Empat yang lain - Ika Ayel, 9, Haikal Yaakob, 8, Linda Rosli, 8, dan Juvina David, 7, ditemui mati, manakala Sasa Sobrie, 8, belum ditemui sehingga kini. -

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2016 @ 8:27 PM